Tampil dengan pakaian sukan pada awal kemunculannya pada 1952, Fred Perry bermula dengan Sports Authentic dan sedikit demi sedikit mula berubah menampilkan baju-T dan jaket.

Untuk koleksi musim bunga kali ini, Fred Perry X Thames tampil berkolaborasi sekali lagi apabila menampilkan rekaan yang diilhamkan daripada rutin kehidupan rakyat British.

Terdiri daripada koleksi seperti baju-T berkolar V yang diilhamkan daripada pakaian seragam sekolah, Fred Perry X Thames dilihat masih lagi mengekalkan keaslian pakaian sukan retro tenis dengan corak bergaris.

Bagi rekaan baju-T pula, tampil ringkas untuk lelaki, manakala pakaian perempuan masih berpegang kepada reka bentuk klasik dan jaket.

Sehubungan itu, jenama ini meneruskan keyakinan terhadap koleksi pakaian sukan lelaki termasuk pakaian sukan wanita dengan skirt yang mempunyai unsur sukan tenis.

Mengimbau era 1970-an, kebanyakan koleksi sukan yang dihasilkan untuk musim luruh dan sejuk adalah berwarna terang.

Jadi tidak hairanlah sekiranya koleksi kali ini Fred Perry tampil berani dengan fabrik berwarna terang seperti putih, merah jambu, biru laut, dan merah hati.

Penggunaan warna-warna berani dalam koleksi Fred Perry X Thames dilihat menggalakkan evolusi pakaian sukan kepada pakaian jalanan.

Begitupun gaya vintaj terus memberi inspirasi, misalnya penggunaan warna biru karbon dijadikan warna asas koleksi tradisional pakaian sukan.

Yang pasti, setiap helai baju yang dihasilkan akan disertakan mash-up logo Thames dan tandatangan Laurel Wreath dari Fred Perry.