Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, buat pertama kalinya, Sephora Malaysia membuka pintu untuk jenama tempatan iaitu Duck Cosmetics dan Prettysuci yang kini boleh didapati di Sephora.

Menurut Pengurus Besar Negara, Sephora Malaysia, Valerie Foong, peluang buat dua jenama tempatan yang dikenali ramai itu bagi memenuhi permintaan trend semasa yang semakin menyokong produk tempatan di samping kualitinya yang setaraf dengan produk luar negara.

“Kami menyedari bahawa terdapat perubahan dalam landskap kecantikan di mana lebih banyak jenama tempatan muncul dan menawarkan produk yang berkualiti tinggi.

“Di Sephora, kami sentiasa menawarkan pelbagai jenis produk terbaik untuk memenuhi permintaan trend semasa dan kami sangat gembira untuk mengalu-alukan Prettysuci dan Duck Cosmetics dalam portfolio kami untuk menyokong industri kecantikan tempatan serta menyediakan platform tambahan untuk mereka membangunkan perniagaan mereka,” ujarnya ketika majlis memperkenal jenama tempatan yang memasuki Sephora, baru-baru ini.

Bersempena kemunculan Duck Cosmetics di Sephora, mereka melancarkan koleksi hari raya edisi terhad iaitu Doily Duck Collection, pelet solekan kompak yang mudah dibawa ke mana-mana yang dilancarkan secara eksklusif di Sephora dan boleh didapati hingga 6 Jun ini.

Doily Duck Collection merupakan pelet solekan edisi terhad yang terdiri daripada pembayang mata, pemerah pipi, bronzer dan pewarna bibir dan didatangi dengan empat pilihan iaitu Coffee Nut, Pandan Coconut, Red Velvet dan Peach Sugee.

Diasaskan oleh usahawan dan peminat fesyen, Datin Vivy Sofinas Yusof, Duck Cosmetics adalah lanjutan daripada jenama Duck Group yang bukan sahaja terkenal dengan jualan koleksi tudung premiumnya malah menawarkan barangan alat tulis dan aksesori rumah.

Prettysuci, jenama yang menjual barangan kecantikan dalam talian yang pertama memberi tumpuan kepada produk kecantikan halal buatan Malaysia turut membawa pelbagai produk yang tidak pernah dilihat sebelum ini khas untuk pelanggan Sephora seperti gincu, bedak asas dan pelet pembayang mata.

Diasaskan oleh Tunku Datuk ‘Kaiyisah Kamil Ikram dan Natasha Mohammad Ozeir, produk Prettysuci boleh didapati di Sephora KLCC, Nu Sentral dan Shah Alam.