Ada yang mengatakan gaun panjang ini sebagai jubah, namun kedua-duanya ada perbezaan.

Jika jubah berpotongan longgar dan besar, manakala gaun panjang pula mengikut potongan badan, dibuat daripada fabrik yang lebih cantik seperti renda, satin, sutera dan sebagainya.

Gaun panjang mampu membuatkan si pemakai tampil lebih anggun, feminin, cantik dan sopan.

Rekaan sebegini sesuai digayakan tatkala menghadiri majlis-majlis formal, karpet merah, makan malam, dipakai oleh mereka yang hendak bertunang atau perkahwinan.

Bagi gaya yang lebih anggun, fabrik jenis renda sering menjadi pilihan. Fabrik renda memang selama-lamanya cukup sesuai bagi rekaan gaun panjang dan menjadi pilihan pereka-pereka fesyen seluruh dunia.

Selain itu, gaun yang cantik lazimnya hasil penggunaan fabrik mewah yang tampak berkilat dan berat seperti sutera Shantung, satin dan jacquard.

Potongan yang ringkas sama ada berlengan panjang, lengan pendek atau tidak berlengan begitu cantik dengan rekaan sebegini.

Fabrik broked kembali menjadi pilihan pereka fesyen bagi rekaan gaun panjang. Pelbagai warna, rona dan cetakan corak boleh disesuaikan dengan majlis yang hendak dihadiri.

Namun, pastikan fabrik broked anda tidak terlalu berkilat sehingga menyilaukan mata yang memandang.

Kini banyak rekaan gaun panjang yang diberi potongan ala duyung, bahagian belakang yang labuh meleret di lantai apabila si pemakainya berjalan. Gaya sebegini membuatkan penampilan seseorang wanita itu umpama ratu yang menjadi perhatian setiap yang memandang.

Perincian seperti batu-batu permata, manik mutiara dan batu jemeki yang dijahit pada corak fabrik menyerlahkan lagi rekaan.

Untuk gaya yang lebih glamor semasa menghadiri majlis karpet merah di mana setiap tetamu yang hadir mengenakan gaun panjang, anda boleh tampil berbeza dengan menyematkan reben besar pada sebelah bahagian bahu. Selain gaun panjang glamor ke majlis, ramai juga yang lebih suka memakainya ke pejabat atau ketika berjalan-jalan.

Namun untuk gaya yang kasual, pilihlah gaun panjang yang ringkas, selesa dan tidak ‘diberatkan’ dengan perincian. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Pakaian KOLEKSI BAJU PESERTA KWFN, KOMPLEKS TERUNTUM, KUANTAN, PAHANG.
Solekan ROHAIDA BAHARIN, IG: rohaidabaharin.
Stailis RAFAEL