CHRISTINE CHEAH

Kebiasaannya, busana ini dihasilkan daripada fabrik sutera dan disulam, manakala kolar dan lengan baju dihiasi perincian renda.

Sering digayakan pada acara-acara keraian terutama Tahun Baharu Cina, pemakaian ceongsam memberikan suasana sebenar dalam mengimbau kenangan serta mengekalkan amalan budaya wanita Tionghua.

Dengan anjakan arus kemajuan teknologi hari ini, rekaan pakaian klasik ini turut mengalami perubahan dengan diberikan sentuhan moden.

Siluetnya lebih ketara, manakala labuhnya ‘disingkatkan’ bagi menampilkan sosok tubuh seorang wanita. Ceongsam hari ini turut ditambah dengan elemen ropol dan dijadikan gaun pendek.

Menurut pemilik butik Zoe L Fashion and Beauty Academy, Christine Cheah, lazimnya ceongsam akan dipakai pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina.

Lazimnya, pilihan warna ialah merah kerana ceongsam memberi pengertian tersendiri yang membawa maksud tuah dan kemanisan dalam hidup.

“Ceongsam sememangnya baju yang direka dengan gaya seksi tetapi elegan bagi membuatkan si pemakai kelihatan anggun dalam keindahan seni rekaannya.

“Hari ini sesiapa sahaja boleh memakai pakaian tradisi ini dan dengan kreativiti pereka fesyen tanah air, ceongsam kini telah dizahirkan dalam pelbagai rekaan yang elegan, glamor dan kontemporari.

“Selain itu, bagi orang Cina pemilihan warna merah masih diberi keutamaan, walaupun hakikatnya hari ini ceongsam dihasilkan dalam pelbagai warna,” ujarnya ketika ditemui dibutiknya yang terletak di Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Menjelang Tahun Baharu Cina ini, Christine menawarkan pelbagai rekaan ceongsam siap dipakai (RTW) dengan rekaan-rekaan terkini dan moden.

Pada masa sama, dia turut memberikan kelainan dengan menampilkan warna-warna ceria seperti gabungan merah, putih dan hitam, oren dan putih; serta merah jambu.

Dalam setiap rekaan, dia akan cuba menampilkan kelainan dari segi fabrik yang digunakan, selain menggabungkan elemen-elemen moden dan tradisional.

“Elemen-elemen tradisionalnya masih lagi dikekalkan terutama penggunaan butang dan potongan kolar Mandarin. Bagaimanapun, rekaan ceongsam RTW kali ini semuanya potongan pendek paras atau atas lutut.

“Sesuai bagi remaja-remaja, rekaan RTW ini boleh dipakai dan digayakan di mana-mana sahaja kerana ia mudah dipakai dan selesa sepanjang hari.

“Rekaan ini sekali gus ingin menarik minat golongan muda menggayakan kembali ceongsam pada pagi sambutan Tahun Baharu Cina kerana hari ini tidak semua anak muda gemar memakainya,” katanya lagi.

Begitupun, seperti pakaian tradisional masyarakat lain, ceongsam masih menjadi pilihan.

Rekaan ceongsam butik tersebut boleh dilayari di Facebook, zoe.lboutique.