Dibuat daripada kulit tiruan dan bahan fabrik yang mencerminkan seni kraf masyarakat Turki, beg tangan ini dijahit tangan dengan begitu kemas dan teliti menggunakan benang emas.

Boleh digayakan ke mana sahaja yang anda ingini, terdapat beberapa saiz yang boleh dipilih, iaitu empat segi bujur, berbentuk separuh bulat, bulat dan segi enam. Cara pemakaiannya juga boleh dipelbagaikan.

Menurut Nurhafizatul Haswani Mohd. Razak, 30, yang membawa beg tangan berjenama Adynda ini ke Malaysia, ada tiga cara memakainya, sama ada dipegang seperti beg kepit (clutch), disilang ke badan dan disangkut pada bahu.

Kata Nurhafizatul Haswani, yang merupakan satu-satunya memiliki lesen import bagi beg tangan Turkiye ini, walaupun masih baharu di Malaysia namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana keunikan dan warnanya.

Ada banyak warna bercorak Turki yang digunakan bagi membuat beg tangan ini seperti biru, merah, krim, hijau dan sebagainya.

Jika diperhatikan dari dekat, fabriknya sama seperti songket rekaan Ottoman yang memang terkenal kerana keunikan dan keindahan kraf tangannya.

Bagaimanapun warna yang menjadi kesukaan ramai ialah warna emas dan hitam kerana boleh dipadankan dengan sebarang warna baju.

“ Trend beg tangan sekarang ialah beg tangan Delhi dan sekarang saya membawa masuk beg tangan Turkiye pula.

“Terdapat beg tangan yang saya beli siap dari Turki dan ada yang ditempah. Saya pilih sendiri fabrik, tali beg dan bakel untuk beg tangan ini,” kata Haswani yang berkongsi perniagaan ini bersama ibunya, Nor Sahriyum Mohd. Noh dan adiknya, Mirza Syazani.

Dijual pada harga di antara RM189 hingga RM209, beg tangan Turkiye ini kini dijual di booth Jalan Tuanku Abdul Rahman, secara dalam talian dan di tiga buah stor di Geylang Serai, Tempinis dan Punggul (Singapura).