Dalam konteks di Malaysia, kemunculan dan perkembangan fesyen yang cukup pesat dengan pelbagai jenama busana Muslimah, menjadi alternatif terbaik wanita Islam yang ingin menutup aurat dengan gaya penuh berketerampilan dan kontemporari.

Sungguhpun begitu dalam memenuhi tuntutan kaum wanita Islam menutup aurat, mereka juga harus memahami bahawa apa yang digayakan bukan sekadar pakaian menutup tubuh semata-mata, kerana ia tidak akan memberi makna jika si pemakai gagal menggayakan busana tersebut dengan pembawaan yang mendefinisikan imej seorang wanita Muslimah.

Misalnya, baru-baru ini, selebriti yang juga usahawan tudung terkenal, Neelofa menerima kecaman hebat apabila mengadakan majlis sambutan ulang tahun ke-29 dan pelancaran koleksi tudung Naelofar Hijab terbaharu di sebuah kelab malam popular di ibu kota.

Ia menjadi semakin panas apabila terdapat video yang menunjukkan beberapa gadis bertudung menari dengan gaya mencolok mata, jelas menunjukkan personaliti yang tidak menggambarkan sebagai wanita yang menutup aurat.

Menurut pendakwah dan penulis buku, Pahrol Mohamad dalam perkongsian di laman Facebook, berada di tempat yang sinonim dengan arak dan pergaulan bebas bagi tujuan dakwah iaitu mempromosikan hijab tidak ada salahnya dengan syarat tetap menjaga niat, syariat dan akhlak.

Sebaliknya, jika syariat dilanggar dan nilai akhlak tercemar, berada di tempat sebegitu ialah suatu yang mungkar dan mengundang fitnah, apatah lagi ia disertakan dengan acara tari-menari yang ditegah oleh Islam.

“Menutup aurat itu syariat tetapi bertudung itu fesyen daripada manusia, jadi bertudung tidak semestinya menutup aurat.

“Menutup aurat itu ialah dengan menutup dada, punggung, bawah dagu dan segala lekuk serta bentuk pada tubuh dengan kain yang tebal bukan yang kain tipis dan berbayang, jauh bezanya wanita yang menutup aurat kerana Allah dengan memilih untuk bertudung kerana mengharapkan perhatian manusia,” katanya.

Ini turut dipersetujui pereka busana pengantin Muslimah, Eja Shahril, yang tidak bersetuju dengan segelintir jenama yang membawa nama Muslimah, namun masih tidak memenuhi garis panduan sebenar menutup aurat.

Ujarnya, ramai yang berpandangan bahawa fesyen yang benar-benar mengikut syariat kelihatan konservatif namun dia selaku pereka fesyen Muslimah, sebaiknya untuk melakukan yang terbaik dan tegas dalam memilih dan mereka sesuatu busana agar tidak lari daripada prinsip Muslimah yang dipegang.

Rekaan trendy

Eja tidak menafikan agak sukar untuk memenuhi kehendak pelanggan lebih-lebih lagi wanita hari ini, yang lebih sukakan rekaan trendy dan moden dalam masa sama memenuhi konsep menutup aurat.

Namun, baginya itulah cabaran sebagai pereka fesyen.

Katanya, untuk memenuhi konsep fesyen Muslimah, apa yang penting adalah pakaian yang direka tidak menampakkan bentuk tubuh dengan mengelakkan penggunaan fabrik yang jarang.

Jika digunakan pun, dia akan memastikan rekaan tersebut mempunyai lapisan kain di bahagian dalam, manakala rekaannya pula menampilkan konsep yang segar dan sesuai untuk personaliti seorang Muslimah.

“Ketika saya memperaga busana saya dalam persembahan fesyen di New York tahun lalu, saya sendiri ditanya tentang rekaan turban, kenapa saya tidak menjualnya sedangkan turban mendapat permintaan yang banyak di pasaran antarabangsa.

“Saya tidak menafikan perkara tersebut, malah jika difikirkan tentang potensi bisnes, saya memang untung besar jika menjual turban. Namun, saya mengingatkan diri sendiri bahawa apa jua perniagaan, keberkatan dan niat sebenar membawa fesyen Muslimah perlu diutamakan.

“Kalau saya jual turban, orang akan pakai hasil rekaan saya di khalayak ramai dan saya akan mendapat dosa dahulu jika mereka menggayakannya dalam keadaan tidak menutup aurat dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi Mega Rona.

Menurutnya, kerja pereka fesyen termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan yang diharuskan oleh hukum syarak.

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya pereka busana Muslimah berusaha mengelakkan diri daripada menyediakan pakaian dan fesyen yang mendedahkan aurat.

Katanya, dia kecewa apabila melihat rekaan Muslimah dipermain dan dijadikan seperti sesuatu yang tidak dihormati, sekali gus menunjukkan agama Islam diperdagang.

Hakikatnya, kehadiran jenama-jenama Muslimah di pasaran sebagai fardu kifayah bagi memartabatkan wanita yang menutup aurat.

Perlu ada usaha menjelaskan dengan tepat konsep aurat dan pakaian mengikut landasan Islam bagi mengelakkan berlaku salah faham atau pertikaian mengenainya.