Begitu juga dengan anak kelahiran Bumi Kenyalang ini, Prof. Dr. Rusea Go yang sangat mencintai keindahan bunga orkid juga dikenali sebagai bunga yang mempunyai aura dan kelasnya yang tersendiri berbanding bunga-bunga lain.

Dikelilingi keindahan alam semula jadi di tempat kelahirannya di Teluk Pajar, Selidap, Bintangor, Sarawak telah menyemarakkan rasa sayangnya terhadap alam semula jadi dan bunga orkid khususnya.

Seawal usia lima tahun, pensyarah Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sudah mula tertarik dengan rupa bentuk bunga popular tersebut yang tumbuh meliar di sekitar kampung halamannya di bumi Sarawak sehingga mendorongnya untuk menanam sendiri bunga orkid spesies Cymbidium dayanum itu di halaman rumah.

Bukan itu sahaja, atas dasar kecintaan yang tinggi terhadap spesies flora itu, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang botani di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendalami dan mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Lebih mengujakan, beberapa tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang yang diidamkan oleh ramai pelajar seperti jurusan seni bina, pengajian bahasa dan ekonomi di luar negara terpaksa ditolak demi memenuhi keinginan naluri untuk menjadi seorang ahli botani.

“Setelah menamatkan pengajian PhD (peringkat doktor falsafah) pada tahun 1998, saya ditawarkan untuk menjadi pensyarah di Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, UPM pada ketika itu.

“Dari situlah saya rasa patut merealisasikan semula minat saya terhadap bunga orkid dengan menjalankan penyelidikan dalam usaha pemuliharaan spesies tersebut,” katanya ketika ditemui Mega Sains di pejabatnya di UPM, Serdang baru-baru ini.

Telah berkecimpung dalam dunia orkid selama 20 tahun, ibu kepada empat orang cahaya mata itu telah menjalankan lebih 13 penyelidikan berkaitan orkid di seluruh negara untuk memelihara khazanah alam tersebut.

Sepanjang tempoh itu, beliau memperoleh geran penyelidikan berjumlah RM1.7 juta dari pelbagai pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan universiti bagi aktiviti penyelidikannya.

Pelbagai penemuan spesies orkid baharu yang telah ditemukan hasil usaha keras memanjat gunung, hutan dan bukit-bukau bagi mencari spesies-spesies orkid liar yang masih belum dirungkai kewujudannya.

Pusat Orkid Kebangsaan

PROF. Dr. Rusea Go juga mengimpikan sebuah Pusat Orkid Kebangsaan diwujudkan di negara ini bagi mengukuhkan lagi usaha pemuliharaan khazanah alam yang makin ditelan arus pembangunan.

Pusat orkid itu nanti, menurutnya, diharap menjadi paksi kepada usaha-usaha pemuliharaan serta dapat menjadikan aktiviti berkenaan lebih holistik dan secara sinergi.

Katanya, impian itu hanya akan dapat dicapai sekiranya terdapat penglibatan daripada sektor-sektor lain, individu atau mana-mana pertubuhan menerusi bantuan dana.

“Penyelidik yang menjalankan kerja-kerja berkenaan orkid pun tidak ramai sekarang ini, jadi kita bimbang usaha memulihara ini akan menemui jalan buntu.

“Jadi, dengan adanya pusat orkid ini sedikit sebanyak akan membantu menjadi pembimbing kepada semua penyelidik untuk meneruskan usaha pemuliharaan dengan lebih efisien,” ujarnya.

Penemuan baharu

Hasil penemuan itu menambahkan diversiti spesies orkid yang menghuni hutan-hutan di Malaysia yang ketika ini dianggarkan sebanyak 4,000 spesies berbanding dahulu.

Menurut Prof Dr. Rusea Go orkid-orkid yang baharu ditemukan itu akan dinamakan berdasarkan kriteria-kriteria yang dimiliki seperti rupa, bau, bentuk dan sebagainya.

“Contohnya Vanilla sanguineovenosa yang mendapat nama seakan-akan vein (vena) kerana corak kelopaknya yang membentuk seperti salur darah.

“Selain itu, ada juga yang dinamakan sempena nama penyelidik yang menjumpai spesies itu atau nama orang-orang kenamaan yang telah dilatinkan sebagai tanda penghargaan,” ujarnya.

Berkongsi aktiviti terkini, Dr. Rusea berkata, beliau dan beberapa penyelidik lain ketika ini sedang menjalankan penyelidikan terhadap spesies orkid Vanda untuk menghasilkan orkid yang lebih berbau harum dan berbunga lebat.

Walau bagaimanapun, menurutnya, penyelidikan itu masih dalam peringkat mengenal pasti gen yang membawa haruman dalam orkid Vanda sebelum ia dikacukkan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

“Bila sudah mengenal pasti gen yang mana barulah boleh manipulasi genetik kepada spesies Vanda yang lain supaya menghasilkan bunga yang harum juga.

“Kacukan antara orkid harum dengan orkid yang tidak berbau tidak semestinya menghasilkan hibrid yang wangi. Jadi kita gunakan teknik ini untuk mendapatkan bunga-bunga yang wangi,” katanya.

Jelasnya, varieti sedemikian masih belum ada di negara ini kerana yang ada hanya orkid yang berbau harum secara semula jadi dan sudah pasti kewujudan orkid harum baharu ini nanti akan memeriahkan lagi industri orkid.

Namun, tidak dinafikan dalam era pembangunan yang kian pesat ini, spesies orkid tidak terlepas berdepan dengan ancaman kepupusan.

Penggondolan hutan secara besar-besaran demi pembangunan telah memusnahkan habitat semula jadi spesies ini terutama spesies endemik yang hanya boleh ditemui di satu-satu tempat sahaja.

“Paling bahaya ialah kemusnahan spesies endemik kerana jika habitatnya diganggu dan dimusnahkan, kita tak akan dapat spesies itu lagi dimana-mana,” katanya.