Sejak awal Ramadan hingga kini telah masuk seminggu Syawal, hatinya cepat terusik terutama apabila melihat kanak-kanak riang beraya dengan berbaju baharu.

Walaupun dia sudah reda dengan pemergian arwah suami, Shahrill Muhammad, 36, dalam satu kemalangan ngeri pada 27 Mac lalu, masih dia tidak mampu menyekat air mata daripada terus mengalir.

Malah, hanya air mata menjadi peneman setia pada kala teringatkan suami dan dua anak tiri, Marissa Damia, 9, dan Arissa Rania, hasil perkahwinan suami dengan bekas isteri.

Ketiga-tiga mereka terkorban apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di Bakri, Muar, Johor.

Kemalangan tersebut berlaku kira-kira pukul 11 malam semasa mereka empat beranak dalam perjalanan dari rumah mentua Nor Hanem di Tanjung Agas ke rumah keluarganya di Air Hitam, Muar.

Shahrill dan Arissa Rania meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Marissa Damia dan Nor Hanem, yang dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Dia mengalami patah tujuh tulang rusuk, kecederaan hati tahap empat, kecederaan limpa tahap dua dan paru-paru serta jangkitan pada mata kanan.

Sehari selepas dia dibenarkan keluar wad atau enam hari selepas kejadian, Marissa Damia pula menyusul ayah dan adiknya.

PERUBAHAN 100 HARI

Bergelar seorang isteri pada 2 Februari 2018 sudah cukup membahagiakan Nor Hanem. Pun begitu arwah Shahrill hanya dipinjamkan selama 52 hari sahaja kepadanya, sebelum kembali menghadap pencipta-Nya.

Mengenang kembali hari-hari sebelum kejadian, cerita Nor Hanem, 100 hari sebelum meninggal dunia, suaminya ada menyuarakan rasa terkilan.

“Dia merasakan orang tidak memahaminya. Seakan-akan merajuk, suami berkata, ‘kalau macam ini, lebih baiklah dia mati. Tidak susahkan sesiapa’,” katanya.

Tambahnya lagi, suami seorang yang periang dan banyak cakap, bagaimanapun 100 hari sebelum kemalangan, dia menjadi pendiam dan murung.

Pagi sebelum kemalangan dia semakin pendiam dan enggan makan.

Bimbang jika ada berbuat salah, Nor Hanem bertanya kepada suami dan meminta maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Namun, suaminya berulang kali berkata bahawa dia tidak pernah berbuat salah malah kalau ada pun sudah memaafkan.

“Marissa pula sebelum ini tidak pernah membantah atau bersikap keras tetapi pada penghujung usianya dia suka membantah dan marah-marah.

“Arissa yang sebelum itu banyak cakap, aktif dan periang berubah menjadi lemah-lembut. Jika sebelum itu dia tidak pernah mencium saya, tetapi beberapa hari sebelum meninggal, dia selalu memeluk dan mencium pipi saya.

“Saya berasa agak pelik dan tertanya-tanya melihat perubahan mereka, tetapi tidak menyangka yang mereka akan pergi sekelip mata di depan saya,” kata Nor Hanem yang memiliki butik pengantin, Chenta Hani Bridal Concept di Parit Yusof.

Suami dan anak bongsunya dikebumikan di dalam satu liang lahad, manakala anak sulung dikebumikan selang satu liang.

Melihat kepada kecederaan yang dialami oleh Nor Hanem mungkin dia memerlukan masa beberapa bulan untuk sembuh.

Bagaimanapun kini dia sudah bangkit semula dan boleh bekerja seperti dahulu walaupun tidak terlalu aktif.

Katanya, dia akan meneruskan bisnesnya seperti biasa kerana sudah mempunyai tempahan solekan dan pelamin hingga tahun depan. Dua minggu sebelum Ramadan dia sudah pun menyolek pelanggan.

 

Baju raya merah jambu

SUDAH merancang untuk beraya bersama dengan memakai baju raya berwarna merah jambu dan hijau zamrud, namun itu semua tinggal kenangan.

Arwah suami memilih warna hijau zamrud sementara Hani memilih merah jambu. Kain pun sudah dibeli lebih awal pada penghujung tahun lepas cuma belum ditempah lagi semasa kejadian kemalangan itu.

Semua itu hanya perancangannya sebagai manusia dan Tuhan yang lebih tahu akan segala-galanya. Kain yang hendak ditempah renyuk terbiar di dalam beg plastik. Dia tidak mahu memikirkan fasal baju raya lagi.

Secara luaran mungkin orang melihatnya sebagai seorang yang sangat tabah, sedangkan hakikatnya Nor Hanem adalah jenis yang memendam rasa.

Di depan orang, dia nampak tenang kerana tidak mahu menunjukkan kesedihan, namun apabila berseorangan dan menatap gambar suami, dia akan menangis hingga bengkak mata.

Pernah juga apabila memandu, dia khayal dan fikirannya kosong. Tempat yang hendak dituju dalam di Muar, tetapi tanpa disedari sudah sampai ke Johor Bahru.

“Pada awalnya, saya tidak dapat menerima kenyataan ini. Bagaimanapun keluarga saya, mertua, saudara-mara dan kawan-kawan banyak memberikan sokongan dan memujuk saya.

“Siapa yang tidak sedih, sepatutnya inilah kali pertama saya menyambut hari raya sebagai seorang isteri. Mengucup tangan suami pada pagi raya, menunaikan solat raya dan menziarahi sanak-saudara sebagai sebuah keluarga.

“Namun, saya selalu mengingatkan diri bahawa saya harus reda dan ini semua adalah perancangan Allah yang lebih menyayangi mereka,” katanya semasa dihubungi baru-baru ini.