Misalnya golongan autisme, mereka merupakan antara golongan OKU yang memiliki keinginan seksual yang normal, namun mudah berdepan dengan pandangan serong masyarakat.

Memandangkan perwatakan dan penampilan mereka sama seperti individu tipikal, golongan ini sering mengundang salah faham masyarakat ketika berada di khalayak ramai apabila melakukan perkara yang tidak sepatutnya, semasa ‘mengendalikan’ keinginan seksual mereka.

Malangnya, kehendak golongan ini jarang diperkata memandangkan masyarakat sering beranggapan golongan ini tidak memiliki keinginan itu secara jelas, pun begitu, persepsi berkenaan adalah tidak tepat.

Menurut Pensyarah dan Pakar Kanak-Kanak Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Dr. Norazlin Kamal Nor, golongan OKU terutama kanak-kanak autisme sama seperti kanak-kanak tipikal lain yang turut melalui perkembangan seksual yang serupa pada usia tertentu.

Bezanya, golongan berkenaan sukar mengendalikan perkembangan berkenaan selain tidak difahami orang luar termasuk ibu bapa jika mereka tidak mengambil cakna keadaan anak mereka pada usia akil baligh.

“Masyarakat akan memandang serong jika mereka bertindak sesuatu yang boleh disifatkan sebagai gangguan seksual, walaupun golongan autisme itu sendiri tidak menyedari tindakan itu salah kerana hanya ingin mengendalikan perasaan itu,” jelasnya pada Seminar Kesihatan dan Keselamatan Seksual Kanak-kanak Kelainan Upaya anjuran HCTM PPUKM, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, golongan autisme tidak memahami isyarat sosial seksual yang sering dilakukan seperti memegang alat kelamin, meraba, menyentuh anggota sulit orang lain secara tiba-tiba, beronani, membuka pakaian dan memandang seseorang dengan penuh keinginan itu adalah salah, justeru, mereka akan melakukan perkara-perkara berkenaan tanpa rasa bersalah.

Malah ada ketika merasakan perkara berkenaan sebagai satu ancaman jika ada yang menegur atau melarang mereka berbuat demikian.

“Keinginan seksual yang dilalui kanak-kanak OKU ini juga boleh mengundang bahaya kerana mereka turut terdedah dengan gangguan seksual.

“Ini boleh berlaku memandangkan mereka hanya mahu memuaskan perasaan dan keinginan tanpa mengetahui ada golongan yang akan mengambil kesempatan. Di sini, peranan ibu bapa dalam memberi pendidikan seks pada usia yang sepatutnya dengan cara yang bersesuaian dengan perkembangan anak OKU adalah penting, kerana seksualiti bukan sekadar berkaitan dengan aktiviti seks semata, malah merupakan spektrum terhadap tindakan sosial, emosi dan fizikal golongan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Psikologi Oasis Place Malaysia, Tan Cheng Yi berkata, ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme sering berdepan dengan kesukaran untuk menangani isu seksual golongan berkenaan.

Ujarnya, terdapat kanak-kanak autisme yang mungkin berasa taksub dengan aktiviti onani bagi melepaskan rasa tekanan dan dibimbangi sukar untuk berhenti atau dikawal terutama di tempat awam.

Tambahnya, aktiviti onani selain dilakukan kerana rangsangan normal, ia juga bertujuan bagi menarik perhatian ibu bapa agar lebih fokus terhadap mereka juga keinginan mereka.

“Onani sebenarnya bukan perkara pelik untuk dibincangkan, namun dalam konteks golongan autisme ia perlu dipandang secara lebih luas dan serius kerana golongan ini tidak boleh menilai tindakan yang dilakukan itu salah atau betul.

“Beronani bukanlah satu-satunya cara untuk menguruskan keinginan seksual golongan ini, namun jika itu dapat membantu mereka menguruskan keinginan seks mereka, ia perlu dihormati.

“Pun begitu, penjaga atau ibu bapa harus memberi kefahaman yang betul dalam perkara ini agar golongan ini tidak melakukannya secara semberono termasuk di khalayak ramai selain mementingkan faktor-faktor keselamatan dan kebersihan,” jelasnya.