Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Program Permata Negara berkata, pelbagai pihak kini sedang berusaha memahami ciri-ciri autisme bukan sahaja Permata Kurnia, bahkan sekolah, guru-guru, pegawai pendidikan dan Kementerian Pendidikan, demi kebaikan golongan ini pada masa depan dalam bidang pendidikan.

Beliau juga mengucapkan rasa penghargaan kepada sekolah-sekolah yang telah menerima pelajar-pelajar autisme ini untuk belajar dalam aliran perdana.

“Saya juga merayu kepada ibu bapa agar memantau perkembangan anak-anak mereka di sekolah dan mengikuti pelajaran mereka serta tunjuk ajar di rumah,” katanya selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Koperasi Polis Fasa II, Kuala Lumpur, sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia, baru-baru ini.

Di situ, beliau beramah mesra dengan beberapa bekas murid Permata Kurnia yang diterima masuk ke sekolah tersebut.

Beliau turut mengadakan sesi dialog bersama guru-guru dan ibu bapa murid, yang mencadangkan anak-anak autisme Permata Kurnia diberi peluang menjalani ujian UKM 1, UKM 2, dan UKM 3.

Sekiranya anak-anak ini lulus ujian dan jika IQ mereka tinggi, akan dibenarkan masuk ke Pusat Permata Pintar Negara.

Rosmah juga memberitahu, seramai 123 daripada 334 bekas anak Permata Kurnia telah diterima untuk memasuki sekolah aliran perdana bagi sesi prasekolah dan darjah satu sejak tahun 2017.

“Walaupun program ini baharu, masyarakat semakin menerima dan memahami ciri-ciri kanak-kanak autisme ini. Kita juga telah belajar dari negara-negara maju dan telah berbincang dengan Autism Speaks dari New York, dan mereka telah memberi kita semangat dan nasihat,” jelasnya.

Beliau memberitahu, anak-anak autisme ini sebenarnya pintar, tetapi mengalami sedikit kelemahan sama ada dari segi sosial atau sikap hiperaktif yang memerlukan pemerhatian dan pemantauan daripada semua pihak.

Sementara itu, seorang guru Matematik SK Taman Taman Koperasi Polis, Rashidah Jainan, yang mengajar di kelas yang menempatkan anak-anak autisme memberitahu, tidak sukar sebenarnya memberi asuhan dan mengajar anak-anak ini cuma guru-guru perlu memberikan pemantauan dan perhatian yang lebih kepada mereka.

“Kita berikan mereka motivasi dan perhatian kerana mereka ini sukar untuk fokus, tetapi boleh menerima pelajaran.

“Mereka ditempatkan ke kelas biasa setelah mempunyai kemahiran asas menulis, mengira, membaca,” katanya.

Rashidah memberitahu, apabila anak-anak autisme ditempatkan ke kelas aliran perdana banyak manfaat diperoleh termasuk belajar bersosial dan rakan-rakan dapat menerima serta memahami mereka.