Jika dahulu kerjaya tersebut terikat pada model peragaan pentas yang menetapkan kriteria agak ketat, namun hari ini wanita berhijab juga berpeluang menyerlahkan bakat dalam kerjaya tersebut dengan kebanjiran jenama Muslimah yang memerlukan khidmat mereka.

Walaupun ada segelintirnya dilihat mudah mendapat peluang, namun ada juga yang berusaha mendapat tempat sehingga tidak sedar diri dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Disebabkan terlalu obses mengejar impian bergelar model, mereka mudah diperdaya oleh agensi model palsu yang menjanjikan kerjaya dan lebih menyedihkan, wang pendahuluan yang dibayar atas tujuan dokumentasi turut ‘hilang’ begitu saja.

Bahkan, ada juga yang meminta mereka menghantar gambar tidak senonoh atas alasan keperluan memenuhi portfolio sebagai model bagi mendapatkan tawaran kerja.

Berbekalkan pengalaman selama lapan tahun dalam dunia peragaan fesyen Muslimah, Farah Najwa Zulkifly, 31, melihat situasi tersebut boleh menjatuhkan imej wanita Islam. Dia merasa bertanggungjawab untuk membantu golongan itu mencapai impian melalui saluran yang betul.

“Isu ditipu agensi model sudah lumrah dalam dunia peragaan. Lazimnya, individu-individu yang menyamar ini lebih gemar mencari mangsa daripada golongan muda yang dilihat begitu obses mahu bergelar model.

“Manis berbicara dan menawarkan pelbagai keistimewaan dan kemudahan antara penyebab yang mendorong model-model baharu menerima perjanjian tanpa berfikir panjang atau menyelidik latar belakang syarikat.

“Gara-gara mahu menjadi seorang model, ada gadis berhijab yang sanggup mengirim gambar seksi selepas diperdaya oleh individu yang menyamar memiliki agensi model. Lebih teruk, mereka juga diugut untuk menyebarkan gambar yang diberi,” katanya ketika ditemui dalam sesi fotografi di studio Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengasaskan agensi model Muslimah, Muslima Model Talent Agency sejak dua tahun lalu, wanita yang mesra disapa sebagai Ara itu mengakui, perkara berkenaan antara isu yang ditekankan melalui agensinya selain memberi panduan bagaimana membawa diri sebagai model Muslimah sepanjang bekerja.

Jelasnya, model perlu mengetahui hak-hak mereka seperti menutup aurat dengan betul, menjaga waktu solat ketika acara peragaan, menjaga batas-batas pergaulan, dan solekan yang sederhana.

Tambahnya, bengkel yang dianjurkan agensinya turut memberi pengalaman baharu dengan mengajar asas penggunaan solekan, merapikan wajah, tata rias dan penampilan agar bersesuaian dengan imej dan konsep Muslimah.

Peserta juga berpeluang mempelajari asas menggayakan pakaian di hadapan jurugambar serta postur yang sesuai untuk sebarang penggambaran.

Mengimbas kemunculannya di dunia peragaan tempatan, Ara menyifatkan semuanya berlaku secara kebetulan selepas menyertai program realiti televisyen Gadis Melayu Musim Ke-3.

“Saya bermula pada 2011 yang mana ketika itu fesyen Muslimah hanya tertumpu kepada jenama-jenama besar. Waktu itu agak sukar untuk saya mendapat tempat kerana jenama fesyen Muslimah banyak mengambil model-model luar untuk memperagakan busana mereka.

“Meskipun ketika itu masih lagi belajar, saya berusaha menyertai pelbagai pencarian bakat dan menggilap sendiri bakat kerana ketika itu media sosial masih kurang popular membuatkan saya perlu mencari inisiatif sendiri.

“Syukurlah usaha saya berbaloi kerana ditawarkan menjadi ‘wajah’ Sendayu Tinggi untuk kedai penjagaan diri, kesihatan dan kosmetik, Watsons dan sejak itu saya mendapat pelbagai tawaran sebagai model Muslimah dan mula mengumpul pengalaman sebaik mungkin,” katanya yang berasal dari Raub, Pahang.

Memperlahankan kerjaya tersebut selepas berumah tangga pada 2014 kerana perlu mengikut suami berpindah ke Pulau Pinang, Ara mula diaju pertanyaan daripada kenalan bagaimana hendak menjadi model Muslimah.

Pertanyaan tersebut memberinya idea untuk menganjurkan bengkel perkongsian dan pengalaman.

Selepas beberapa kali menganjurkan bengkel, Ara mengambil keputusan untuk menubuhkan agensi model Muslimah. Sehingga kini, dia sudah melatih 400 wanita untuk mempersiapkan diri sebagai model.

Agensi tersebut boleh dilihat di Instagram @muslimamodel dan Facebook, Muslima Model and Talent.