Dia yang mesra disapa Aiman mengakui, berniaga merupakan langkah tepat buat dirinya kerana selain minat, perniagaan juga telah menjadi darah daging orang tuanya.

Dia bermula pada 2012 dengan menjual telekung keluaran ibunya. Sebagai orang muda, dia memilih pemasaran secara dalam talian (online) memandangkan kaedah tersebut menjadi fenomena dalam kalangan usahawan muda.

“Ketika itu saya nak berniaga tetapi tidak ada modal jadi saya ‘pinjam’ dahulu 10 pasang telekung milik ibu untuk dijual.

“Dalam masa yang sama, saya dan isteri yang turut meminati bidang fotografi dan suntingan gambar cuba menggunakan kemahiran itu untuk menghasilkan katalog telekung dengan konsep lebih moden.

“Ternyata sambutan yang diterima di luar jangkaan. Saya mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan telekung secara serius dengan memperkenal jenama Telekung Tea.

“Dalam masa setahun sahaja, saya berjaya membuka butik pertama di Seri Gombak, Selangor. Kini, selepas enam tahun kami sudah mempunyai empat buah butik termasuk di Bangi dan Terengganu,” katanya ketika ditemui Mega Rona di butik di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Anak jati Chendering, Kuala Terengganu itu, bergerak bersama isteri, Areej Torla yang bertindak sebagai pengarah kreatif dan bertanggungjawab menghasilkan rekaan-rekaan telekung baharu.

Menawarkan rekaan telekung dengan perincian sulaman tangan yang begitu halus, dijahit rapat dan rapi, Aiman memberi fokus terhadap penghasilan telekung untuk dijadikan hantaran atau hadiah.

Ini kerana katanya, ketika ini terdapat pelbagai jenama telekung di pasaran, namun tidak ramai yang mengusahakan telekung eksklusif untuk hadiah.

Jadi, dia mengambil peranan tersebut untuk memenuhi permintaan yang tinggi terhadap telekung yang bukan sahaja dipakai untuk dibawa bersolat, bahkan sebagai hantaran atau hadiah.

Ujarnya, setiap rekaan sulaman direka sendiri mengikut trend-trend semasa dan dihasilkan secara eksklusif untuk jenamanya dengan menggunakan kepakaran sulaman dari luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Apabila kami sudah memahami pasaran telekung di Malaysia, kami mula memberi fokus terhadap penghasilan telekung yang bermotifkan sulaman yang indah dengan rekaan flora dan kontemporari.

“Untuk trend semasa, kami mengeluarkan koleksi telekung dengan warna-warna lembut seperti warna pastel, selain menitikberatkan pemilihan fabrik yang selesa, iaitu jenis poliester campuran premium,” katanya.

Pernah menjadikan kain kapas sebagai material utama, namun selepas diperkenal dengan fabrik poliester campuran yang dinamakan Rosella Premium, Aiman mula menjadikannya sebagai material signatur.

Ini kerana fabrik tersebut sangat selesa, lembut, terletak, tidak panas dan tidak mudah renyuk.

Terdapat tiga jenis telekung bawah jenama tersebut iaitu Tea Limited, Tea Premium dan Tea Basic pada harga bermula dari RM50 hingga RM1,000.

Lebih istimewa, setiap telekung didatangkan dalam kotak yang cantik dan disertakan dengan kad ucapan yang dicetak mengikut kehendak pelanggan.

Koleksi telekung tersebut boleh dibeli dilihat di laman www.telekungtea.com atau Instagram, @telekungtea.