Pastinya mencabar kemahiran memandu yang dimiliki, membuatkan setiap pelumba perlu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mengekalkan momentum selain perlu kekal fokus.

Yang pasti, semangat tersebut dapat dilihat di dalam diri tiga pelumba negara bagi perlumbaan Le Mans, Mohamad Afiq Ikhwan Mohamad Yazid, 26, Jazeman Jaafar, 25, dan Weiron Tan, 23.

Memilih untuk melibatkan diri dalam sukan pemotoran sejak di bangku sekolah lagi, ketiga-tiga mereka sememangnya penggemar aktiviti lasak.

Menyedari berhadapan dengan risiko tinggi apabila mempertaruh nyawa ketika berada di litar, semua ini bukanlah penghalang bagi mereka.

Terbaharu, gandingan ketiga-tiga itu buat pertama kali berjaya melakar sejarah buat negara apabila memenangi perlumbaan ketiga Siri Le Mans Asia 2017/2018 di Litar Buriram, Thailand, baru-baru ini.

Ternyata ketiga-tiga pemandu ini dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain, memandangkan perlumbaan tersebut bukan sahaja menguji kepantasan kereta dan keupayaan pemandu, tetapi juga keserasian sesama mereka.

Berjaya mengumpulkan mereka bersama baru-baru ini, gurau senda serta keakraban yang ditunjukkan membuktikan bahawa mereka serasi bersama.

Bagi Mohamad Afiq Ikhwan atau lebih dikenali sebagai Afiq, walaupun penglibatan dalam sukan go-kart bermula ketika umur 15 tahun, dia berjaya membuktikan minat mampu mengatasi segala-galanya.

Ingin mencipta nama pada peringkat yang lebih tinggi, anak bongsu daripada tiga beradik ini berazam akan melakukan yang terbaik buat negara.

“Sebagai seorang anak lelaki, kereta dan kelajuan tidak dapat dipisahkan selain merupakan peminat tegar sukan pemotoran.

“Walaupun potensi diri hanya dapat dikesan ketika berusia 15 tahun, saya rasa belum terlambat untuk membuktikan keupayaan.

“Yang pasti saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan akan memberikan yang terbaik buat pasukan dan negara,” ujarnya ketika ditemui.

Kehebatan Jazeman pula, tidak perlu dipertikai kerana selain merupakan pelumba negara yang cukup dikenali, anak kelahiran Kuala Lumpur itu telah mencipta kejayaan sejak berusia lapan tahun lagi.

Kejayaan demi kejayaan berjaya dilakar dan hari ini meletakkan dirinya sebagai salah seorang pemandu profesional negara.

Sokongan padu

“Karier saya dalam sukan pemotoran bermula ketika berusia enam tahun dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang.

“Alhamdulillah, apa yang saya lakukan hari ini mendapat sokongan padu daripada keluarga. Pastinya saya ingin terus mencipta kejayaan demi kejayaan.

“Insya-Allah, saya yakin dengan apa yang dilakukan walaupun gabungan kami bertiga merupakan satu cabaran baharu. Kami akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Berbeza pula bagi Weiron, yang bukan sahaja pemandu termuda dalam pasukan tersebut, bahkan penglibatannya dalam sukan pemotoran bermula sebagai hobi.

Anak kedua daripada empat beradik ini mengakui, segala-galanya diusahakan sendiri kerana dia berasal daripada keluarga yang tidak mempunyai latar belakang dalam sukan pemotoran.

Sebelum ini dia berlumba bersama pasukan Aylezo Ecotint Racing dalam kelas LMP3 pada musim 2016-2017.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berharap gandingan bersama Afiq dan Jazeman dapat membentuk satu pasukan yang hebat.

“Gandingan kami bertiga bakal menentukan nasib kami untuk musim akan datang dan pastinya saya terharu apabila diberi peluang untuk terlibat dalam perlumbaan berprestij di dunia ini.

“Saya juga berharap gandingan ini dapat membanggakan pasukan dan negara, sekali gus mencipta kejayaan dalam perlumbaan Le Mans.

“Memandangkan saya baru berusia 23 tahun dan masih baharu dalam sukan ini, saya akan terus berlumba untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya sambil tersenyum.

Ternyata kejayaan yang dicipta baru-baru ini menunjukkan ketiga-tiganya bekerjasama dengan baik dan dapat mengekalkan keserasian sehingga di akhir perlumbaan.