Pameran itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Mei diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas di sini. 


Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan negeri, Awang Damit Awang Anak, Sambutan Hari Belia 2017 itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, esok. 


Kata beliau, kementeriannya menyasarkan kira-kira lima hingga 10,000 belia akan hadir ke pameran berkenaan yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai pengajian, peluang pekerjaan dan keusahawanan. 


“Sehubungan itu, saya berharap para belia tidak melepaskan peluang untuk hadir ke program ini kerana pelbagai agensi kerajaan, swasta, pusat kemahiran dan keusahawan turut serta dalam pameran ini. 


“Saya yakin para belia akan mendapat manfaat sekali gus membuat peluang untuk meneroka pasaran kerja atau bidang keusahawanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan pada majlis pra pelancaran Sambutan Hari Belia peringkat negeri ini di sini hari ini. - Utusan Online.