Persiapan rapi amat penting bagi membolehkan pelumba memburu ‘hadiah Hari Raya’ pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand dari 31 Mei hingga 2 Jun ini.

Latihan lebih tertumpu kepada kekuatan mental dan fizikal seperti larian, berbasikal, angkat berat dan juga senamrobik di gimnasium setiap kali selepas berbuka puasa.

“Walaupun berpuasa, namun ia tidak menjejaskan fokus kami untuk melakukan persiapan bagi menghadapi saingan di Buriram nanti. Kami tetap bekerja keras agar misi kami mampu direalisasikan dengan sempurna,” jelas pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Menurut Shahrol, saingan pusingan 3 menaikkan semangat barisan pelumbanya kerana ia bakal menjadi gelanggang untuk memburu hadiah Hari Raya buat pasukan.

Selain itu katanya, para pelumba sudah biasa dengan keadaan litar di Buriram dan sudah tentu ia akan memudahkan tugas mereka untuk berada di atas podium kemenangan.

“Saya anggap saingan di Buriram akan melonjakkan semangat para pelumba kerana tiga hari selepas itu, kita akan menyambut Hari Raya, jadi semangat untuk memburu ‘hadiah Hari Raya’ itu pasti mencetuskan keghairahan buat para pelumba.

“Litar di Buriram juga bukan baharu buat kami, jadi ia akan memudahkan tugas untuk melakukan ‘setting’ dan apa juga permasalahan lain dengan jentera,” katanya lagi.

Dalam ARRC musim ini, pasukan Yuzy Honda Racing mempertaruhkan tiga pelumba, masing-masing satu dalam kelas AP250cc dan dua kategori Underbone 150cc.

Saingan dalam kelas AP250cc disandarkan kepada Shahrol Syazras Shahrol Yuzy manakala Md. Amirul Ariff Musa dan Md. Aiman Azman menggalas cabaran Underbone 150cc.

Selepas berakhirnya dua pusingan setakat ini, Syazras yang dianggap pelumba sedang meningkat naik kini berada di kedudukan ke-18 dalam carta keseluruhan kelas AP250cc dengan mengutip dua mata. - UTUSAN ONLINE