Acara yang berlangsung selama tiga hari itu disertai kira-kira 400 wakil tempatan dan luar negara. Antara negara yang menyertai festival itu ialah Indonesia, Brunei, Chile, Perancis, Singapura dan Jerman.

Berikutan penyertaan peserta luar itu, KRF 2019 layak menerima pengiktirafan antarabangsa memandangkan semua acara yang dipertandingkan mencapai spesifikasi penjurian antarabangsa.

Pengarah Program, Mohd. Hasrol Kamis dari Radak Adventure berkata, barisan juri diketuai oleh juri teknikal dari Federasi Arung Jeram Indonesia (Faji), Joni Kurniawan.

Menurutnya, Faji memiliki kepakaran teknikal dalam sukan arus deras antara yang terbaik di dunia.

Disebabkan faktor itulah pihaknya selaku penganjur program menjemput Faji untuk turut serta dalam penganjuran KRF yang julung kali diadakan di Sungai Kampar, Gopeng, Perak.

“Faji merupakan delegasi teknikal termasuk dalam aspek penjurian bagi pertandingan yang diadakan selama tiga hari di Sungai Kampar bermula 5 Julai lalu.

“Selain berkongsi kepakaran, kehadiran mereka memeriahkan festival yang pertama kali dianjurkan ini,” katanya kepada S2.

Penjurian sepanjang festival berlangsung adalah mengikut spesifikasi IRF sekali gus menjadi rujukan untuk sukan arus deras yang berlangsung di sepanjang jajaran Sungai Kampar kelak.

Sebanyak 13 pasukan terlibat dalam pertandingan yang diadakan antaranya River Explorer (Rex), Ulu Slim, Kamparado Paddlers, Rex Kayak School, Budak Guider Malaysia, Republic of Kamparado A dan B, serta pasukan dari Indonesia iaitu River Guide Sumatera dan Faji Kota Bogor.

Penganjuran KRF turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Perak, Tourism Perak dan beberapa organisasi lain termasuk operator yang menggerakkan aktiviti sukan arus deras di sepanjang jajaran Sungai Kampar.

Sungai Kampar dipilih sebagai lokasi festival kerana merupakan destinasi tumpuan penggemar sukan arus deras tempatan mahupun luar negara.

Antara lokasi yang terlibat dalam menjayakan festival itu adalah Dataran Jahang, Kuala Razila, Murni Camp, PUBG Camp, Kampung Chulek, Riverside Camp dan Gopeng Glamping Park.

Mengulas lanjut Mohd. Hasrol berkata, KRF menggabungkan beberapa elemen sukan arus deras dalam satu konsep pertandingan iaitu berakit arus deras, kayak dan tubing. Katanya, perlumbaan berakit arus deras mempertandingkan kategori sprint, downriver, slalom dan head to head (H2H).

“Perlumbaan kayak hanya melibatkan dua kategori iaitu downriver dan slalom manakala pertandingan tubing yang menjadi acara pertama dianjurkan di Asia turut disertai peserta kanak-kanak,” katanya.

Hadiah yang ditawarkan adalah wang tunai bernilai antara RM50 hingga RM3,000 mengikut acara dan kategori perlumbaan, selain produk tajaan dan trofi.

Penganjuran KRF 2019 mendapat sokongan luar biasa daripada pelbagai pihak. Mohd. Hasrol bersama semua kru yang terlibat dalam acara ini mengakui tidak menyangka usaha selama berbulan-bulan membuahkan hasil yang cukup manis. Lebih mengujakan apabila Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi turut meluangkan masa memeriahkan majlis perasmian festival. Majlis penutup pula disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee.

Kar Hing dalam ucapan perasmian berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap usaha merancakkan pelancongan sukan arus deras di negeri Perak.

Mengulas mengenai KRF katanya, program itu amat menarik kerana turut melibatkan penyertaan masyarakat setempat termasuk sukarelawan institusi pengajian tinggi selain mengetengahkan unsur pendidikan melalui program konservasi sungai dan seminar geopark.

“Walaupun baru pertama kali diadakan, namun KRF turut memasukkan program ilmiah seperti seminar geopark. Jadi, saya rasa ia sudah cukup lengkap,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kemudahan asas di Dataran Jahang akan dinaik taraf bagi memastikan keselesaan pelancong selain mampu menampung lebih ramai pengunjung akan datang.

Kemudahan sedia ada di dataran yang terletak di Kampung Jahang adalah tandas awam, parkir dan kedai makan.

Tinjauan S2 di sekitar lokasi pertandingan mendapati bukan sahaja operator sukan arus deras mendapat manfaat daripada penganjuran acara itu, malah penduduk tempatan turut mengambil bahagian dengan membuka gerai makan dan minuman, menjual baju T serta peralatan dan barangan aktiviti luar.

Selain itu, Seminar Geopark Lembah Kinta diadakan bertujuan menyampaikan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan geopark kepada semua pihak terutama mahasiswa yang menjadi tunggak pembangunan negara pada masa akan datang. Seminar itu dikendalikan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak.

Bagi melibatkan penduduk kampung dalam acara KRF, pihak penganjur mengadakan acara Sukan Rakyat. Acara itu membangkitkan nostalgia peserta terhadap permainan tradisional seperti zero point dan congkak.

“Kami juga mengadakan perhimpunan hammock yang berlangsung di Gopeng Glamping Park. Dalam perhimpunan itu kesemua peserta memasang buaian sebagai tempat tidur di tempat yang disediakan. Pertunjukan api pula diadakan pada waktu malam dan mendapat sambutan hangat penduduk serta pengunjung,” katanya.

Keputusan 
pemenang

Acara berakit arus deras

Kategori Slalom

Pertama : Faji Kota Bogor

Kedua: River Guide Sumatra

Ketiga: Rex Kayak School (B)

Keempat: Rex Kayak School(A)

Kelima: Explore Rafting Team

Kategori Sprint

Pertama: Rex Kayak School (B)

Kedua: Rex Kayak School (A)

Ketiga: Faji Kota Bogor

Keempat Raftasia (Swiftwater)

Kelima: Explore Rafting Team

Kategori H2H

Pertama: Rex Kayak School (B)

Kedua: Rex Kayak School (A)

Ketiga: Faji Kota Bogor

Keempat: Republic of Kamparado (B)

Kelima: River Guide Sumatra

Kategori Downriver

Pertama: Rex Kayak School (B)

Kedua: Explore Rafting Team

Ketiga: Republic of Kamparado (A)

Keempat: River Guide Sumatra

Kelima: Faji Kota Bogor

Pemenang keseluruhan berakit arus deras

Pertama: Rex Kayak School (B)

Kedua: Faji Kota Bogor

Ketiga: River Guide Sumatra

Keempat: Rex Kayak School(A)

Kelima: Explore Rafting Team

Acara kayak

Kategori Slalom

Pertama: Agus Gunawan

Kedua: Mohd. Arif

Ketiga: Mohd. Shamsul Mokti

Keempat: Wan Mohd. Firdaus Wan Osman

Kelima: Bender Dasril

Kategori Downriver

Pertama: Wan Mohd. Firdaus Wan Osman

Kedua: Agus Gunawan

Ketiga: Mohd. Shamsul Mokti

Keempat: Ng Daojia

Kelima: Ruzaini Razali

Pemenang keseluruhan kayak

Pertama: Agus Gunawan

Kedua: Wan Mohd. Firdaus Wan Osman

Ketiga: Wan Shamsul Mokti

Keempat: Mohd. Arif

Kelima: Ruzaini Razali