Kemunculannya pada pertunjukan fesyen Spring-Summer Haute Couture di Paris pada 23 Januari lalu ternyata mencuri tumpuan tetamu yang hadir di acara tersebut sekali gus dia menjadi bualan ramai.

Kepada segelintir peminat lama, mungkin sudah menyedari perubahan dari segi gaya dan penampilan ibu tunggal, anak tiga ini sejak beberapa tahun lalu.

Namun keadaan susuk tubuh Celine yang jauh berbeza daripada sebelum ini tetap menimbulkan kerisauan peminat yang mula mengandaikan mungkin dia mempunyai masalah kesihatan.

Tak cukup dengan itu penyanyi yang bakal menginjak usia 50 tahun ini turut dihujani hinaan, ejekan dan kata-kata sindiran segelintir pihak dek perubahan drastik pemilik nama sebenar Celine Marie Claudette Dion ini.

Tetapi penyanyi yang pernah membuai emosi serata dunia dengan lagu My Heart Will Go On ini bersikap tenang dan mengambil pendekatan enggan mempedulikan semua kritikan yang dilemparkan pembenci terhadapnya.

Menurut penghibur berpengaruh ini, dia sangat gembira menjalani hidupnya yang dan perubahan yang berlaku pada dirinya atas kerelaan diri sendiri.

“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Jangan risau dan jangan ambil gambar. Saya buat ini untuk diri sendiri. Saya mahu berasa bersemangat, cantik, feminin dan seksi.

“Jika kamu suka, saya akan berada di sana. Jika tidak, tinggalkan saya sendiri,” tegasnya dan sekali gus mahu berhenti daripada terus memperkatakan tentang isu berat badannya.

Serentak dengan perihal kurus kering, bintang berdarah campuran Kanada-Perancis ini terpalit dengan gosip hubungannya dengan pemuda bernama Pepe Munoz. Dia dikatakan mula intim dengan penari latarnya itu sejak dua tahun lalu.

Kemesraan mereka pertama kali dirakam paparazzi sewaktu mereka hadir pada pertunjukan fesyen Giambatista Valli di Paris.

Spekulasi semakin bertebaran apabila lelaki berusia 34 tahun itu beberapa kali mencuri perhatian peminat ekoran dia sering menemani Celine ke acara-acara hiburan dan pertunjukan fesyen.

Tidak mahu ikatan mesra mereka terus menjadi sorotan media, Celine menggambarkan hubungan antara dia dan pemuda berasal dari Malaga, Sepanyol itu sekadar kawan baik.

“Ya, ada orang lain dalam hidup saya tetapi bukan lelaki dalam hidup saya. Kami terikat sebagai rakan, tapi janganlah kita campurkan segalanya. Kami kawan baik.

“Sudah tentu kami saling berpeluk, berpegang tangan dan keluar bersama dan orang melihatnya. Maksud saya, dia memberikan saya tangannya dan mengajak saya keluar,” katanya menepis gosip tersebut.

Sejak menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sejak tiga tahun lalu, dia sudah boleh menerima hakikat serta menggambarkan dirinya sedang melalui pengalaman ‘fasa kedua’ dalam hidup.

MEMORI

PERUBAHAN yang berlaku kepada tubuh badannya sebenarnya menarik minat ramai untuk mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi kepada legenda yang satu ini. Ada yang berpendapat dia sebenarnya tertekan dengan kehidupan semasa meskipun pada luarannya nampak bahagia.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, dia antara wanita yang kuat. Pada 2013 Celine berdepan ujian hidup apabila suami tercinta yang juga pengurus dan teman karibnya disahkan menghidap barah tekak.

Tidak sanggup melihat suami menanggung penderitaan itu seorang diri, setahun selepas itu Celine mengumumkan dia menangguhkan penglibatannya untuk semua aktiviti muzik kerana mahu sentiasa dekat dengan Rene Angelil.

Selepas menghabiskan beberapa bulan di atas katil, Rene membuat permintaan mahu melihat dan mendengar isterinya menyanyi di atas pentas. Meskipun berat hati namun Celine menunaikan hasrat Rene dengan mengadakan konsert di The Colosseum, Las Vegas.

Pada 14 Januari 2016, dunia Celine menjadi gelap gelita apabila separuh jiwanya pergi buat selama-lamanya. Belum kering air mata menangisi pemergian suami, dua hari selepas itu kesedihan Celine berganda kerana abangnya, Daniel pula meninggal dunia juga akibat penyakit kanser.

Pada 22 Januari berikutnya, Rene dikebumikan di Basilika Notre-Dame di Montreal, tempat yang sama di mana 22 tahun yang lalu, Celine dan Rene telah bersatu dan melafazkan sumpah setia sebagai pasangan.

Di situlah tempat mereka melangsungkan perkahwinan dan majlis pada berlangsung pada 17 Disember 1994 itu mendapat liputan secara langsung oleh media di Kanada.

Ramai sedia maklum, Celine dan Rene adalah pasangan yang sentiasa menjadi perhatian. Sejak mereka mula berkenalan kemudian menyulam cinta selama lima tahun dan akhirnya berkahwin.

Pasangan yang mempunyai perbezaan usia 26 tahun ini sering menjadi contoh sebagai antara pasangan terbaik di Hollywood.

Tambah istimewa, memori-memori manis Celine bersama Rene bakal divisualkan dalam sebuah filem The Power of Love (tajuk sementara). Filem yang menelan kos AS$23 juta (RM94 juta) itu dijangka ditayangkan pada tahun 2020.