Biarpun gagal menyempurnakan banyak peluang terbaik, namun kemenangan 2-1 sudah cukup untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Red Giants dalam empat perlawanan liga musim ini, malah membolehkan anak-anak buah B. Sathianathan melonjak ke tangga ketiga dengan 16 mata.

Kedah yang mengumpul 15 mata bagaimanapun mampu merampas semula kedudukan tersebut jika menumpaskan Melaka United di Stadium Hang Jebat, esok.

Dalam aksi di Shah Alam, pemain tengah dari Brazil, Sandro da Silva meledak gol ketiganya bersama Red Giants musim ini selepas meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-14.

Faiz Nasir dan Sandro berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa peluang terhidang sebaik sahaja babak kedua bersambung, namun tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-78 untuk menambah gol menerusi Syahmi Safari.

Syahmi mengesahkan kemenangan Selangor apabila menyempurnakan bola hantaran cantik pemain gantian, Norhakim Isa.

Lima minit sebelum tamat permainan, gawang Red Giants bocor hasil jaringan pemain sayap PKNS, Fazrul Hazli Kadri, namun gol tersebut tidak dapat menghalang Selangor daripada mencatat kemenangan keempat musim ini. - UTUSAN ONLINE