Konsert tersebut akan membariskan empat kumpulan generasi baharu iaitu Edyna, Rusty Rabak, Metalzonn dan Sparrow berkonsepkan rock dan heavy metal 80-an yang akan mengembalikan fenomena dan zaman kegemilangan rock 80-an.

Penganjur konsert, Mohamed Noor Mustapha berkata, persembahan itu akan memberikan aspirasi buat kumpulan yang bakal beraksi selain memberikan nafas buat genre rock yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati para peminat.

“Walaupun ini sudah memasuki edisi ke empat, tidak bermakna kami selaku penganjur hanya memilih kumpulan yang boleh dikategorikan sebagai indie,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

Nostalgia rock kapak esok
Nostalgia rock kapak esok 

Meskipun tidak mendapat sebarang penajaan daripada individu mahu pun syarikat besar, beliau yakin dengan pelaburan yang di buat bagi menjayakan konsert itu.

Mohamed Noor berkata, setiap kumpulan mempunyai keistimewaan dan pengalaman sendiri contohnya Metalzonn pernah beraksi di pentas Rockstage pada 2017 sebagai band pembukaan untuk konsert XPDC Kita Pengyu dan FTG.

Beliau memberitahu, band itu dibarisi Bard Salleh sebagai pemaim dram, Slasher (gitar), Areyoi (gitar), Fadil (bass) dan Wan Zam (vokal).

“Metalzonn telah mengorak langkah dengan lahirnya single Inggeris pertama yang berjudul Childrens of The War,” ujarnya.

Edyna pula katanya, biar pun usia penubuhan mereka baru setahun jagung, ‘barisan jenteranya’ punya pengalaman yang cukup luas dalam arena muzik dianggotai Eddy, Mierul dan Kyoji Sky manakala Wan Soulmaster adalah pemain dram undangan.

“Maka hasil gabungan mereka ini terciptalah lagu ciptaan Eddy Edyna sepenuhnya iaitu Cantas dan Malina. Malah majlis perkahwinan pasang ini turut tular dalam media sosial apabila Eddy dan Mierul beraksi dengan baju pengantin sambil bermain alat muzik,” katanya.

Nama Rusty Rabak sudah tidak perlu diperkenalkan kepada peminat genre rock ketika ini dan pada tahun 2010 mereka melahirkan sebuah single Rakusan Durjana yang dijadikan sebagai lagu tema OST Drama Calon Menantu di RTM2.

Rusty Rabak juga katanya, pernah terlibat dalam album kompilasi Rock Terus Rock keluaran Gagak Hitam Production pada 2011.

Menurutnya, kebolehan Rusty Rabak dalam menghasilkan lagu ciptaan sendiri, bermain alat muzik dan pertunjukan pentas yang baik menyebabkan mereka dipanggil untuk membuat persembahan bersama-sama kumpulan terkenal tanahair antaranya XPDC, Desire, Junction dan Febians di merata tempat di Malaysia.

Sparrow yang dengan genre heavy metal dari Ipoh katanya, masih mengekalkan anggota asal seperti Nan (vokalis) R’man (bassis), Ayie (gitaris) dan ahli baharu Shah (gitaris) serta Jac (dram) yang pernah bersama-sama kembali semula.

Apa yang pasti lagu-lagu daripada mini album dan single mereka yang terdahulu yang berjudul Hasutan dan Nafsu Hati akan dipersembahkan termasuk dua lagu baharu daripada album akan datang, katanya.

Selain empat band itu katanya, penampilan istimewa kumpulan Bloodbrothers yang dibarisi Amer (vokal), Wan (gitar), Dell (gitar), Joy Oren (drum) dan Azmi (bass) pastinya akan memberikan kelainan untuk edisi kali ini.

“Bloodbrothers pernah hadir dengan sebuah album yang berjudul Insan pada tahun 2015,” ujarnya dan memberitahu album tersebut dihasilkan dengan kerjasama erat antaranya dan Aim iaitu vokalis band lagenda hardrock/heavy/speed metal dari Muar, Crossfire.

Peminat yang ingin menyaksikan show Heavy Rock Nite.Volume 4 boleh mendapatkan tiket berharga RM25, sebarang maklumat boleh menghubungi 0192407994 (MM). - UTUSAN ONLINE