Terkini, organisasi itu mengorak langkah dengan melebarkan sayap lebih luas dalam bidang penerbitan industri hiburan ke peringat Asia Tenggara.

Langkah pertama dimulakan dengan menjalinkan kerjasama dengan Workpoint Entertainment Public Company Limited yang merupakan organisasi media hub berpengaruh di Thailand.

Datuk Seri Zaienal Abidin Omar bersama CEO Workpoint Entertainment,
Datuk Seri Zaienal Abidin Omar bersama CEO Workpoint Entertainment, 

Satu pertemuan telah diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Phanich Sodsee bersama Pengarah Urusan MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Perbincangan menjurus kepada pelaksanaan agenda dan perancangan ‘menang-menang situasi’ antara dua pihak. Kata sepakat diperoleh dalam merancang projek strategik sebelum ke peringkat seterusnya.

“MHE bakal mengadakan satu majlis perjanjian persefahaman (MoU) bersama Workpoint Entertainment dalam masa terdekat ini. Kerjasama tersebut membabitkan pertukaran kandungan hiburan antara Malaysia dan Thailand.

“Begitu juga dengan beberapa projek yang diaturkan bersama pihak Workpoint Entertainment. Antaranya, penganjuran acara-acara hiburan dan konsert di China tidak lama lagi,” kata Zaienal.

Zaienal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MHE ini juga berkata, perbincangan itu juga menyentuh aspek mempromosikan artis-artis tempatan kelahiran negara masing-masing ke peringkat Asia.

“Kami telah bersetuju untuk mengetengahkan artis-artis tanah air ke peringkat yang lebih jauh lagi. Mereka yang dipilih akan terlibat dengan pelbagai program termasuk konsert berskala besar yang akan dilaksanakan nanti.

“Secara tidak langsung ia membuka peluang kepada artis di Malaysia itu sendiri untuk mencuba pasaran di luar negara,” ujarnya.

Workpoint Entertainment ditubuhkan sejak 1989, adalah syarikat pengeluar program televisyen, penerbitan, animasi dan grafik komputer, filem konsert dan drama melalui saluran televisyen percuma termasuk saluran 3, 5, 7, 9, NBT dan Thai PBS.

Antara program yang pernah diterbitkan seperti program realiti I Can See Your Voice Thailand, Rapper 2, The X Factor Thailand, The Mask Singer, Thailand’s Got Talent dan banyak lagi.

Selain itu, syarikat tersebut dikenali dengan menerbitkan rancangan popular, Wethi Thong (Golden Stage), yang disiarkan di saluran 7 sejak 1989 hingga 2007.

CHINA SETUJU BERSAMA TEROKAI PASARAN

TIDAK hanya Thailand, beberapa negara lain juga mula menunjukkan minat mengadakan kerjasama bersama MHE melalui beberapa sesi pertemuan yang diadakan sebelum ini.

Antaranya adalah organisasi hiburan dan media popular Tai Chi Century Culture Media Co. yang berpangkalan di Shanghai, China.

Ketua Pegawai Ekeskeutifnya, Max Tong yang hadir ke pejabat MHE baru-baru ini telah menyatakan persetujuan minat mahu menjalinkan kerjasama.

“Ini adalah satu kerjasama yang sangat baik. Seperti yang kita tahu, China merupakan pasaran yang terbesar dibandingkan dengan negara lain di Asia. Kami mengalu-alukan kerjasama yang baik antara MHE untuk merebut peluang meneroka pasaran yang lebih luas bersama-sama,” katanya.

Menurut Max, rangkaian TV, web TV dan lebih 40,000 pawagam di negara tersebut memerlukan bekalan kandungan program secara lebih berkualiti.

“Kami juga menjadi rakan kongsi kepada banyak organisasi lain dan syarikat-syarikat ternama. Ia sebagai jalan baharu dalam dunia digital bagi memanfaatkan sumber kreatif, sekali gus akan dapat membantu dalam kerjasama antara pihak kami dengan MHE,” katanya.

Sementara itu, menurut Zaienal lagi, menerusi kerjasama yang akan dijalankan ini, MHE akan membekalkan kandungan hiburan.

“Sebagai contoh, Hunan TV adalah antara rangkaian televisyen terbesar di negara tembok besar itu dengan jumlah sebanyak 400 juta penonton. MHE akan menjadi pembekal yang konsisten kepada mereka pada masa depan,” kata Zaienal.

Melalui MHE Production, rancangan pengeluaran produk-produk seni ini diperhebatkan sejajar dengan keperluan kandungan-kandungan untuk dijual di China dan Thailand.

“Selain itu, pada minggu hadapan MHE juga bakal mengadakan perbincangan bersama sebuah organisasi media hub Indonesia untuk tujuan jalinan kerjasama.

“Diharapkan dengan jalinan kerjasama antara MHE dan rakan-rakan dari Thailand, China dan Indonesia ini, kita akan menjadi entertainment network terbesar di rantau ini,” tambah Zaienal.

Sejak ditubuhkan pada 23 Oktober tahun lalu, MHE menjadi hub hiburan seranta merangkumi jenama penerbitan hiburan dan gaya hidup seperti Pancaindera, sisipan hiburan Mingguan Malaysia, Hits (Utusan Malaysia) URTV dan majalah Wanita.

Selain itu, MHE turut melancarkan sebuah portal televisyen web, MHETV.my.

TENTANG MHE

  • Idea penubuhan MHE diasaskan oleh Pengerusi nya, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir pada Ogos 2018. Aziz yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan berhasrat untuk menghimpunkan produk-produk berteraskan hiburan dan gaya hidup di bawah satu bumbung operasi.
  • Idea itu kemudiannya dijayakan oleh Datuk Seri Zaienal Abidin Omar yang juga individu yang berpengaruh dalam bidang seni dan hiburan. Beliau sebelum ini adalah Pengasas dan bekas Pengerusi Kehormat Persatuan Karyawan Malaysia.
  • MHE menawarkan perkhidmatan kepada semua pihak dalam industri hiburan. Seiring dengan pelancaran yang dibuat pada 23 Oktober 2018, organisasi ini lengkap sebagai hub media berpengaruh dengan penubuhan MHE Talent Management, MHE Event Management dan MHE Radio yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
  • MHE beroperasi dari Tingkat 10, Wisma TRAX, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.