Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Dewan di blok pembangkang yang menganggap ia bertentangan dengan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Isnin lalu bahawa tiada kehilangan wang sebanyak RM19.4 bilion dalam kutipan hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bangun membantah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu yang dibangkitkan adalah bukan mengenai prosedur sebaliknya adalah berkenaan tuduhan 'merompak' yang dilemparkan oleh Guan Eng.

"Hasil laporan PAC tiada kehilangan wang sebanyak RM19.4 bilion dalam kutipan hasil GST, jelas tuduhan oleh Guan Eng itu adalah salah," kata Ismail Sabri di Dewan Rakyat hari ini.

Isnin lalu, Ismail Sabri Yaakob berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (12)mengemukakan usul supaya Guan Eng dibawa ke jawatankuasa berkenaan atas kesalahan mengelirukan Dewan Rakyat.

Pembangkang turut mendesak supaya usul berkenaan dibincang sebelum tamat sesi sidang Dewan Rakyat minggu ini.

Kekecohan terus berlarutan apabila beberapa ahli Parlimen kerajaan bangun menyifatkan pula Mohamad Ariff telah membuat peraturan dan sewajarnya ia dihormati semua ahli Dewan.

Cuba menenangkan keadan, Mohamad Ariff menjelaskan, sebelum membuat keputusan tersebut, beliau telah melihat keseluruhan laporan dan merujuk kepada pelbagai perenggan dalam laporan PAC.

"Saya selaku speaker perlu buat keputusan, kalau yang berhormat hendak membincangkan PAC secara menyeluruh buat usul untuk membincangkan laporan itu.

"Saya kena bersikap adil kepada semua, jadi saya rujuk semua bahagian yang relevan yang diajukan kepada saya, hanya satu ayat dalam perenggan, jadi saya melihat keseluran laporan," katanya.

Kenyataan Mohamad Ariff itu terus tidak disenangi Ismail Sabri dan meminta pendirian Yang Dipertua Dewan Rakyat sama ada bersetuju bahawa wang yang hilang itu 'dirompak' dan berlakunya rompakan.

"Ini memberikan gambaran yang salah kepada Dewan bahawa Ahli-ahli Dewan selepas ini tidak perlu lagi mengikut peraturan yang ada?" soalnya.

Ekoran keadaan kecoh yang berterusan, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengikut Peraturan 36 (6) mencadangkan supaya Guan Eng untuk menarik balik kenyataan tersebut dan dikeluarkan daripada hansard, dan ia turut dipersetujui ahli-ahli pembangkang lain.

"Mengikut Peraturan 36 (6) berkenaan perkataan yang menyakitkan, saya mencadangkan satu jalan keluar kerana kita ada urusan Dewan yang lain, Menteri Kewangan pun ada di sini, dia seorang ahli Parlimen yang lama dan saya percaya dia faham, mungkin pada waktu itu ada sedikit emosi.

"Saya mengesyorkan supaya Menteri Kewangan berbesar hati menarik balik kenyataan itu dan dikeluarkan daripada hansard," katanya.

Mohamad Ariff dilihat bersetuju dengan cadangan tersebut namun Guan Eng hanya dilihat mendiamkan diri sekali gus terus menambah rasa tidak puas hati pembangkang.

Kekecohan berterusan hampir 40 minit sehingga menganggu aturan mesyuarat lain iaitu untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir membentangkan usul mengenai laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di dalam negeri Sabah kali keenam tahun 2017.

Rang Undang-Undang Penyemakan Undang-Undang (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali yang kedua.

Kecewa dengan keputusan yang dibuat, beberapa ahli Dewan Rakyat pembangkang dilihat keluar daripada Dewan. - UTUSAN ONLINE