Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu menyebabkan Nur Qaisara Medina Supian, 2, disahkan meninggal dunia di Hospital Parit Buntar sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Ibu mangsa, Norfarhana Mazlan, 27, berkata, sewaktu kejadian, anak keempat daripada lima beradik itu baru sahaja selesai mandi dan mendapatkan neneknya yang berada di dapur, dalam keadaan tidak berpakaian.

"Waktu itu, saya sedang buai untuk menidurkan anak bongsu yang berusia empat bulan, juga di ruang dapur sebelum dia datang kepada saya minta untuk diberikan minum susu.

"Saya kata tunggu sekejap dan dia terus mendapatkan neneknya sebelum terpijak pinggan lalu terjatuh di atasnya lalu tertusuk pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter sehingga nampak hulunya sahaja di bahagian kiri perut. Saya tidak tahu pisau itu ada di situ," katanya.

Norfarhana berkata demikian ketika ditemui  bersama suaminya, Supian Samsuri, 42, di Jabatan Forensik HRPB di sini hari ini.

Menurut Norfarhana, pada awalnya, dia tidak menyedari pisau berkenaan telah tertusuk pada tubuh anaknya kerana dia hanya menenangkan mangsa yang tiba-tiba menangis sebelum menemukan alatan tajam itu ketika mengusap badan kanak-kanak tersebut.

"Selepas ibu mentua saya menarik pisau itu keluar, saya lihat dia tidak sedarkan diri dan kami terus bawa dia ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Parit Buntar," katanya.

Dalam pada itu, Supian yang bekerja sebagai pemandu di Pertubuhan Peladang Negeri Perak Bahagian Jentera di Titi Serong berkata, sewaktu kejadian, dia sedang bekerja dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh sepupunya, kira-kira pukul 10 pagi.

"Sebelum ini, memang saya ada rasa bahawa anak saya ini hendak pergi jauh dari saya kerana dia ada berperangai pelik, hendak duduk atas pangkuan saya, akhir-akhir ini.

"Sebelum ini juga, dia baik sahaja, tidak kacau orang tetapi kali ini dia lebih kuat meragam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut dan berkata kes masih lagi dalam siasatan.

Mayat mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Pial Baroh esok. - UTUSAN ONLINE