Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan memperkukuhkan kedudukan di persada liga dengan mengutip 26 mata setelah mengharungi 10 perlawanan.

Pada perlawananan itu, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan deras Afiq Fazail yang gagal diselamatkan Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-8.

Lima minit berselang, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah sepakan lintang Gonzalo Cabrera terkena tangan pemain pertahanan, Nicholas Swirad.

Cabrera tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu apabila mudah memperdayakan penjaga gol bagi menggandakan jaringan buat JDT.

Skuad bimbingan Luciano Figeuroa itu hampir menambah jaringan menerusi percubaan Diogo Luis Santo, Safawi Rasid dan Corbin Ong namun percubaan mereka hanya mampu menggegar palang gol.

Sebaik babak kedua bermula, Semut Merah tampil dengan rentak permainan yang berbeza dan hasilnya berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan bekas pemain JDT, Gabriel Guerra pada minit ke-48.

Jaringan itu memberi motivasi buat skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal untuk lebih berani mengatur serangan namun ketumpulan sentuhan penyudah menyekat hasrat mereka mencari tambahan gol.

Serangan demi serangan yang dilancarkan jentera serangan JDT ke arah kubu lawan akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan Safawi yang melepaskan rembatan rendah melepasi kawalan penjaga gawang pada minit ke-85.- UTUSAN ONLINE