Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pelupusan itu sejajar dengan strategi pelaburan Ekuinas untuk memanfaatkan asetnya pada masa yang tepat serta mencari rakan kongsi yang sesuai untuk aset.

Katanya, Ekuinas yakin berdasarkan pengetahuan, kepakaran dan sumber tempatan BG Investments, syarikat itu akan menjadi pemilik yang tepat untuk mengambil alih APIIT Lanka bagi menempuh fasa pertumbuhan seterusnya.

“Pelupusan ini menyumbang kadar pulangan dalaman kasar (IRR) sebanyak 17.5 peratus dan jumlah wang sebanyak 2.2 kali modal yang dilaburkan.

“Ini menyumbang kepada hasil yang berjaya direalisasikan Ekuinas kepada lebih RM2.7 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ditubuhkan pada 2000, APIIT Lanka merupakan usaha sama antarabangsa antara Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APIIT) di Malaysia dan ExpoLanka Holdings PLC., yang mempunyai hubungan dengan pelbagai universiti terkenal di United Kingdom dan Australia.

Sejak penubuhannya, APIIT Lanka berjaya mengeluarkan hampir 2,000 graduan.