Topik tersebut turut mendapat perhatian selebriti tanah air seperti pelakon Ben Amir dan Hisyam Hamid.

Menerusi laman instagram masing-masing kedua-dua pelakon ini ada memuat naik video, foto serta kapsyen menyatakan sokongan penuh mereka

Kata Ben, 29, golongan belia hari ini sudah cukup matang dan berhak untuk mengundi sama seperti mereka berhak untuk bekerja, memandu, berkahwin ataupun menyertai unit beruniform seperti bomba atau askar.

“Ini masanya kita memberi ruang kepada anak muda bersuara dan angkat isu mereka untuk sebuah masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sokongan pelakon drama Air Mata Di Bumi Matador itu bagaimana pun mendapat reaksi yang pelbagai. Tak kurang ada kalangan pengikutnya yang tidak bersetuju dengan alasan usia 18 tahun masih terlalu muda untuk menentukan kerajaan.

Sementara itu, Hisyam pula berpandangan bahawa Malaysia perlu mencontohi kebanyakan negara di dunia yang sudah membenarkan golongan 18 tahun keluar mengundi.

Tambahnya, lagipun usia itu sudah dikira dewasa malah bagi lelaki yang beragama Islam, mereka sudah boleh berkahwin.

Hujah-hujah Hisyam itu turut mendapat pelbagai reaksi dan rata-ratanya menyokong dan bersetuju dengan pelakon berusia 33 tahun itu.

Walaupun Hisyam berasal dari Singapura namun dia sudah berhijrah ke negara ini sejak melibatkan diri dalam dunia lakonan, kira-kira sembilan tahun lalu.

Sebelum ini, hak mengundi dalam pilihan raya diberikan kepada golongan warganera yang sudah mencecah usia 21 tahun.

Negara telah melalui 14 Pilihan Raya Umum (PRU) dari PRU-1 (1959) hingga PRU-14, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE