Menurut penyanyi dan pelakon ini, keputusan itu dibuat atas saranan doktor selepas mendapati keadaan dirinya mengalami kesan sampingan selepas pengambilan ubat berkenaan.

“Boleh dikatakan saya murung sepanjang hampir tiga bulan mengambil ubat berkenaan.

“Bayangkan, saya boleh tiba-tiba menangis dan kemudiannya bertukar emosi kegembiraan dalam satu masa.

“Seram tak? Keadaan itu berlarutan hinggalah saya berjumpa doktor yang menyarankan untuk menghentikan pengambilan ubat itu buat sementara waktu,” katanya kepada Utusan Online.

Mengakui sedih sebab impian untuk menyusukan Adam belum selesai, Azza berkata dia tidak berputus asa dalam usaha untuk menghalalkan hubungan anak angkatnya itu di sisi agama.

Pun begitu, wanita ini turut mengambil makanan sampingan untuk mempercepatkan proses menghasilkan susu badan secara semula jadi sebelum menyambung pengambilan ubat hormon.

Azza dan suami, Azlan Zulaily mengambil anak angkat, Muhammad Adam yang kini berusia sembilan bulan selepas pulang menunaikan umrah, Oktober tahun lalu.

Pasangan yang berkahwin sejak sembilan tahun lalu ini juga tidak berhenti berdoa mahukan zuriat dan rezeki kehadiran Adam disyukuri serta dibela bagai anak sendiri.- UTUSAN ONLINE