Kata Radhi, walaupun kehidupan selepas bergelar duda perlu diteruskan tetapi dia tidak mahu melepaskan peluang untuk kembali bersatu dengan keluarganya itu.

“Saya akan cuba rujuk dengan Ayu. Islam memang cantik. Allah bagi pilihan untuk cerai dan rujuk. Jadi kehidupan perlu diteruskan.

“Dalam proses merujuk, saya perlu ada perancangan baru.

“Dugaan ini adalah cara Allah menegur saya dan saya yakin apa yang berlaku ini ada hikmahnya,” kata Radhi ketika ditemui selepas lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam prosiding yang berlangsung pagi tadi, Radhi atau nama sebenarnya Mohd Radhi Razali, 41, melafazkan cerai talak satu terhadap Ayu, 25.

Sementara itu, Ayu pula meluahkan rasa lega apabila proses perceraian mereka berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah. Rasa lega sangat kerana semuanya susah selesai dan dipermudahkan,” katanya.

Namun kata Ayu, dia belum memikirkan lagi soal rujuk dengan bekas suaminya itu.

“Pasal rujuk itu saya belum fikir apa-apa lagi. Saya minta maaf tidak dapat kongsi sama ada masih ada perasaan sayang terhadap Radhi atau tidak.

“Radhi seorang yang baik. Kami masih boleh jadi kawan macam biasa. Hari ini pun kami jumpa macam kawan. Rumah kami pun dekat saja untuk dia datang melawat anak-anak.

“Saya akan tinggal bersama keluarga. Buat masa ini, saya mahu bagi masa untuk diri sendiri. Kalau dia kata nak berubah, itu baguslah untuk semua orang terutama anak-anak kami.

“Saya juga tidak meletakkan syarat atau masa tertentu untuk dia jumpa anak-anak. Kalau dia rasa nak datang, bila-bila masa pun boleh,” jelas Ayu lagi.

Radhi dan Ayu berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak iaitu Nuraishah,4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 Dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rifdhi Muslim, 14. – UTUSAN ONLINE