Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, hasrat tersebut adalah salah satu hasil kerjasama bersama badan-badan koperasi dari Thailand.

“Tahun lepas ada isu yang Malaysia tidak lagi menggalakkan tukang masak dari Thailand, jadi kita cadangkan koperasi-koperasi di Thailand untuk latih ahli-ahli koperasi Malaysia supaya jadi tukang masak yang mahir buat Tom Yam.

“Kita akan hantar ahli-ahli koperasi kita untuk jalani kursus bersama universiti khas di Thailand. Langkah ini sebenarnya sebagai langkah awal apabila berlakunya kekosongan di mana-mana restoren nanti,” katanya dalam satu sidang akhbar sempena lawatan kerja bersama Coorperative League of Thailand (CLT) di Auditorium Angkasa, di sini hari ini.

Lawatan kerja yang disertai oleh 50 ahli yang mewakili 40 buah koperasi di Thailand itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar idea bagi memperkasa pembangunan koperasi mereka.

Jelas Fattah lagi, Thailand turut mempunyai kekuatan dan kelebihan dalam aspek import eksport produk makanan yang boleh dimanfaatkan oleh Angkasa.

“Kita tahu produk Thailand seperti sayur, buah dan makanan lain majoritinya kita import. Tetapi dalam isu ini koperasi tidak terlibat dan kita cuba libatkan koperasi Malaysia untuk tujuan itu.

“Begitu juga dengan eksport barang-barang yang ada di Malaysia ke Thailand. - UTUSAN ONLINE