Rabiatuladawiyah Ayub, 32, yang berpisah dengan suaminya sejak enam bulan lalu memilih reban ayam yang dibaiki dengan dinding zink terbuang sebagai kediaman mereka empat beranak kerana enggan membebankan ibunya yang juga hidup susah.

Reban tersebut tidak mempunyai dapur dan bilik tidur, selain hanya diterangi sebiji mentol yang disambung dari rumah ibunya. Reban itu tidak mempunyai lantai dan setiap malam, mereka berempat tidur beralas tikar.

“Saya juga mendapat bekalan air dari rumah ibu dan tidak dapat memasak kerana tiada dapur.

“Ibu saya juga pernah menjadi seorang ibu tunggal dan baru sahaja berkahwin semula. dua bulan lalu. Rumah dia yang kecil dan hanya ada satu bilik sahaja sememangnya tidak sesuai untuk kami tinggal di situ.

Rabiatuladawiyah berkata, kerana tidak mampu membeli beras dan barang dapur, anak-anaknya iaitu Wan Nurdhia Irdina Wan Rubuan, 7; Wan Mohd. Aniq Anaqi, 6, dan Wan Mohd Firas Irfan, 1, hanya makan nasi sekali sehari.


Keadaan ruang dalam rumah Rabiatuladawiyah Ayub yang memilih reban ayam sebagai tempat tinggal di Kampung Banggol Tiga Daerah, Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.

“Saya tidak mampu memberi wang saku kepada Wan Nurdhia Irdina untuk dia belanja di sekolah. Sekarang saya guna wang sumbangan jiran untuk beli nasi sekali sehari untuk mengalas perut,” katanya.

Kisah keluarga ini mendapat perhatian gabungan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Mohd. Asri Abdullah dan tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Mohd. Asri gabungan NGO tersebut bertekad untuk melaksanakan pelbagai pendekatan bagi membela nasib ibu tunggal berkenaan termasuk berusaha mendapatkan dana untuk membina rumah sempurna bagi menggantikan reban ayam terbabit

Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Abd. Pattah Hasbullah berkata, kisah keluarga berkenaan juga mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka.


Mohd. Asri Abdullah menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal miskin di Kampung Banggol Tiga Daerah, Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.

“Kita sedang mengurus bantuan bulanan untuk anaknya sebanyak RM300 sebulan. Buat masa ini siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pemimpin penduduk di kawasan tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE