Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini, keadaan ekonomi teruk, mata wang jatuh, kepentingan orang Melayu tidak terjaga dan pelbagai lagi tindakan kerajaan PH yang dilihat terus menekan rakyat.

Katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat sudah tidak ada pilihan melainkan segera melakukan rombakan Kabinet dengan memilih pemimpin yang layak sebagai menteri.

“PH dilihat tidak ada kerja lain, apa yang tahu tukar nama (jenamakan semula projek kerajaan dahulu) dan salahkan kerajaan dahulu. Sepatutnya mereka selamatkan negara.

“Kalau keadaan ini berterusan, keadaan negara akan semakin kelam kabut. Kualiti menteri yang ada juga teruk,” katanya ketika berucap pada ceramah Perpaduan Ummah di Markas Pas Sanglang, di sini malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli.

Kata Shahidan lagi, baru-baru ini, Tun Daim Zainuddin memberi jaminan keadaan negara dijangka pulih dalam masa enam bulan lagi dan rakyat berhak menolak PH jika mereka gagal menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh itu.

“Kita tunggu dan lihat sama ada PH mampu atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu adalah satu rahmat Allah SWT untuk melihat umat Islam kembali bersatu.

“Saya rasa kalau kita menang pada masa itu (Pilihan Raya Umum Ke-14), mungkin kita (Pas, UMNO) masih bergaduh lagi. Kita lihat bagaimana suasana sekarang yang cukup harmoni apabila Pas dan UMNO bersatu,” katanya. - UTUSAN ONLINE