Sehubungan itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berharap agar Amanah dapat membawa pindaan tersebut selepas berada di dalam kerajaan sekarang, malah mereka mungkin boleh melakukan lebih baik.

Beliau berkata, di peringkat Pas, mereka sudah selesai membawa rang undang-undang itu dan sekarang menjadi tanggungjawab kerajaan.

“Amanah khususnya pernah mengatakan kalau nak bawa usul pindaan ke Parlimen adalah tanggungjawab kerajaan. Sekarang sudah jadi kerajaan, kita harap mereka (Amanah) tidak lupa.

“Kalau betul serius hendak laksanakan syariat Islam ini seperti mereka kata sebelum ini, kuasa sudah ada, boleh kemukakan di Parlimen. Kalau pindaan yang Pas buat itu tidak lengkap, mereka boleh ubah suai dan lakukan dengan lebih baik.

“Kita hendak tengok, Allah dah bagi kuasa kepada mereka, (kini) sama ada hendak bawa atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas ceramah Perpaduan Ummah di Markas Pas Sanglang, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Arau merangkap Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa Pas akan memberi sokongan padu jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa semula RUU355 untuk dibentang dan diundi di Parlimen.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya mengharapkan kerajaan PH khususnya parti Amanah yang dahulu semasa menjadi pembangkang mengatakan tanggungjawab membawa usul pindaan ke Parlimen adalah tanggungjawab kerajaan.

Kata AhlI Parlimen Kubang Kerian itu, Pas beri komitmen akan menyokong dan mereka juga yakin UMNO akan menyokong sepenuhnya jika kerajaan membawa pindaan itu di Parlimen.

Untuk rekod, pada 6 April 2017, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui usul persendirian membawa RUU355 buat kali ketiga bagi meminda Seksyen 2 dalam akta berkenaan di Parlimen untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah. - UTUSAN ONLINE