Kesemua plaintif melibatkan lapan orang awam, 34 pelajar dan 129 nelayan yang menamakan 12 defendan terutamanya kerajaan negeri, bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Peguam Kamarudin Ahmad berkata, seramai 34 pelajar dan lapan orang awam memohon perintah agar defendan pertama selaku kerajaan negeri membiayai kos pemeriksaan kesihatan bagi setiap mereka untuk tempoh tiga tahun dari tarikh penghakiman dan menuntut kos rawatan perubatan selama 10 tahun dari tarikh yang sama jika didapati mengalami masalah kesihatan berbangkit daripada pencemaran toksik Sungai Kim Kim.

"Kes saman tuntutan ganti rugi ini difailkan di Mahkmah Tinggi secara e-filing pada pukul 3 petang semalam," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah tersebut di sini hari ini.

Kamarudin berkata, seramai 129 nelayan dari tujuh buah kampung yang terletak sepanjang Sungai Kim Kim pula menuntut ganti rugi khas antara RM15,000 hingga RM30,000 setiap seorang yang mendakwa mata pencarian mereka terjejas ekoran pencemaran tersebut.

Katanya, pengurusan kes permohonan saman tersebut dijangka berjalan selama tiga bulan manakala perbicaraan dijangka diadakan pada November depan. - UTUSAN ONLINE