Keindahan Jambatan Seri Wawasan

IMEJ Jambatan seri wawasan Putrajaya. Shutter 10 sec, app f 16, iso 200, filter GND 9.
BIDIKAN Jambatan seri wawasan Putrajaya. Shutter 10 sec, app f 16, iso 200, filter GND 8.
SEBAHAGIAN ahli Asfon Wilayah Persekutuan yang hadir dalam program fotografi landskap di Putrajaya.
PANORAMA Jambatan seri wawasan Putrajaya. Shutter 10 sec, app f 16, iso 200, filter GND 8.

Baru-baru ini Lensa XpertLines mengikuti sesi fotografi luar rakaman senja bersama Angkatan Seni Fotografi (Asfon) Wilayah Persekutuan di Jambatan Seri Wawasan Putrajaya. Lima soalan berkaitan aktiviti tersebut telah diajukan kepada Presiden Asfon WP (penulis) merangkap penganjur program tersebut. Ikuti kupasan yang diperincikan oleh beliau bagi artikel terbitan minggu ini.

1. Berapa ramaikah yang mengikuti program tersebut?

Sebanyak 18 orang ahli Asfon WP hadir menjayakan program ini. Program ini juga telah diserikan dengan kehadiran Ahli Kehormat, Yaman Ibrahim dan Duta Lensa Voitlender, Othman Mohamad serta beberapa penggiat hobi fotografi landskap.

2. Mengapa lokasi Jambatan Seri Wawasan ini dipilih?

Jambatan Seri Wawasan adalah struktur jambatan jenis cable stay yang mempunyai seni bina futuristik. Tambahan pula jambatan itu adalah antara jambatan yang tercantik dari segi seni binanya di Putrajaya dan 10 reka bentuk menarik di Malaysia. Rekaan jambatan ini mempunyai mempunyai tiang pylon setinggi 96 meter untuk menanggung jambatan sepanjang 165 meter. Selain itu lokasi ini dipilih kerana dalam konteks fotografi ia boleh menghasilkan satu komposisi dan lokasi baik bagi rakaman fotografi senja. Manakala cahaya LED jambatan juga memberi nilai tambah kepada rakaman ini kerana pantulan kesan cahayanya turut terhasil atas permukaan Tasik Putrajaya.

3. Apakah objektif di sebalik penganjuran dibuat?

Objektif utama penganjuran ini adalah untuk mengumpulkan koleksi gambar pemandangan menarik selain menunjukkan ikon pelancongan di Malaysia. Selain itu juga sebahagian rakaman yang dihasilkan oleh ahli-ahli Asfon WP ini boleh dijual kepada bank foto atau agensi yang memerlukan gambar- gambar ikonik, mercu tanda atau pemandangan. Foto yang dihasilkan juga boleh dihantar ke pertandingan foto terutamanya dalam kategori tema landskap fotografi.

4. Bilakah waktu paling sesuai rakaman dibuat?

Berdasarkan pengalaman rakaman paling sesuai dilakukan ialah pada waktu petang menjelang malam. Dalam istilah fotografi waktu ini dinamakan waktu emas atau golden hour. Secara khususnya waktu emas ini bergantung kepada cuaca pada hari rakaman dibuat.

5. Apakah teknik atau kaedah fotografi yang digunakan?

Ada dua kaedah fotografi yang digunakan iaitu;

*Fotografi dedahan tunggal atau lebih dikenali single exposure dengan bantuan aksesori penggunaan penuras (filter). Kegunaan penuras ini bertujuan menyelaraskan kawasan langit cerah latar hadapan (foreground). Terdapat lima penuras penting dalam rakaman fotografi landskap iaitu; Graduated Neutral Density (GND), Circular Polarising (CPL), Solid Neutral Density (SND), Reverse Graduated Neutral Density (RGND), Gold&Blue Polarising (GB CPL)

  • Teknik dedahan berganda (multiple exposure) yang diaplikasikan teknik HDR (High Dynamic Range)

Akhir sekali pelarasan (setting) kamera perlu diambil kira serta penggunaan aksesori tambahan antaranya pemasa pelepasan kawalan rakaman (remote trigger release) atau kekunci pengatup (mirror lock enable) selain tripod.