Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

VSS ubah hidup Azlina

DADIH Adilah banyak menerima tempahan dalam majlis perkahwinan 3
DADIH Adilah banyak menerima tempahan dalam majlis perkahwinan dan keraian.

“AKU nekad ambil tawaran VSS (Skim Pemberhentian Sukarela) dan beri tumpuan kepada perniagaan dadih untuk terus menyara keluarga.”

Satu keputusan yang sukar dibuat oleh seorang usahawan Dadih Adilah, Azlizan Hashim Azmi selepas menerima surat tersebut daripada majikannya lapan tahun lalu.

Walaupun masih sayang dengan kerjayanya sebagai juruteknik keselamatan dan kesihatan syarikat tersebut, dia mengambil keputusan itu demi kelangsungan hidup.

Tindakan itu tidak sia-sia apabila perniagaan yang bermula dengan modal sebanyak RM50 mendapat permintaan menggalakkan sehingga kini.

Azlizan yang memiliki Diploma Pentadbiran Perniagaan dari sebuah kolej swasta berkata, pada mulanya dia bimbang dengan keputusan itu kerana selama ini menerima gaji tetap tetapi bertukar pendapatan tidak tetap.

“Ketika masih bekerja dengan syarikat berkenaan, saya bersama isteri menjual dadih secara kecil-kecilan kepada jiran.

“Alhamdulillah maklum balas amat positif dan saya tidak menoleh ke belakang meneruskan perniagaan ini,” katanya kepada S2.

Bukan mudah untuk bertahan ke tahap sekarang kerana terpaksa berhadapan kerenah pelanggan yang mahukan dadih menepati cita rasa mereka.

“Jatuh bangun perniagaan ini bergantung kepada kepuasan pelanggan. Mereka melihat kualiti serta merasai dadih itu sendiri.

“Pada mulanya agak tertekan bila mendapat pelbagai komen. Jadi, saya mengambil keputusan mengikut kehendak pelanggan kerana mereka memahami apa yang dimahukan,” katanya yang mempelajari resipi membuat dadih daripada bapa saudaranya di Alor Setar, Kedah.

Tanpa memohon sebarang pinjaman kewangan dari mana-mana institusi kewangan, Azlizan melakukannya dari bawah kerana bimbang dibelenggu pelbagai hutang.

Semasa mula berniaga, dia hanya membuat dalam bentuk cawan kecil serta terhad kepada perisa asli iaitu susu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Mohd. Nor Ahmad itu berkata, selepas melihat perniagaan mendapat sambutan dia mencuba nasib memilih laman sosial Facebook mempromosikan dadih dengan jenama Dadih Adilah.

“Alhamdulillah maklum balas diterima berjaya menarik pelanggan dari beberapa negeri di utara tanah air,” katanya.

Sejak itu, Azlizan dan isteri tidak menang tangan menerima tempahan untuk sebarang majlis yang dianjurkan.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila isteri, Norhayati Draoh terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mengalami patah kaki sehingga tidak mampu berjalan.

“Memandangkan tempahan begitu banyak, isteri tidak sanggup melihat saya membuat dadih seorang diri. Dia gagahkan diri dan bantu menyiapkan bersama,” katanya yang terharu dengan kegigihan isterinya di kala susah dan senang.

Bermula sekitar 30 cawan kini perniagaan Azlizan dan isterinya menerima tempahan lebih 2,000 cawan.

Kini permintaan Dadih Adilah mendapat sambutan di utara tanah air malah ada juga pelanggan dari Melaka dan Johor turut membuat tempahan.

Menurutnya, dia tidak kisah menerima tempahan dalam jumlah kecil atau besar asalkan pelanggan berpuas hati dengan produknya.

Sehingga kini, Azlizan mempelbagaikan perisa dadih seperti bandung, jagung dan coklat selain menambah saiz cawan yang lebih besar.

Penghantaran dilakukannya sendiri kerana mahu memastikan kualiti terjamin.

Katanya, produk keluarannya sesuai untuk majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, rumah terbuka dan keraian tertentu.

Mereka yang berminat atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Dadih Adilah boleh layari laman sosial Facebook/Dadih Adilah atau hubungi Azlizan di talian 012-5621407 atau 012-5321471 (Norhayati).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain