Rumah tangga kedua ibu bapanya berantakan dan perpisahan kedua ibu bapanya membuatkan Nor Amila meninggalkan bangku sekolah dan bekerja mencari rezeki sambil belajar untuk berdikari.

Dibesarkan oleh ibu dan mengakui pernah melalui zaman kesusahan, Nor Amila yang kini berusia 33 tahun bangkit untuk keluar daripada kepompong kemiskinan hidup dan berusaha untuk berjaya.

Pernah melakukan pelbagai jenis pekerjaan, Nor Amila ketika ditemui wartawan Utusan Online berkata, selepas bertemu jodoh dengan suaminya yang berasal dari Melaka, dia rasa tercabar apabila sang suami memberi komen berkaitan fizikal.

“Ketika saya dalam pantang melahirkan anak pertama, saya diminta oleh suami untuk mempertimbangkan agar berhenti kerja. Pada waktu itu, saya berfikir, apakah yang saya mahu lakukan sebagai pekerjaan kelak?

“Ketika saya dalam pantang, ramai yang menawarkan produk dan satu perangai saya, mesti cuba dahulu untuk mengetahui keberkesanan produk. Kemudian barulah fikir, kaedah untuk menjual atau memasarkannya,” kata Nor Amila yang berasal dari Kelantan.

Untuk memendekkan jalan cerita, Nor Amila memulakan langkah dalam dunia perniagaan dengan bekerja sebagai ‘droop ship’ dan dalam tempoh dua minggu, beliau berjaya mencapai jualan RM8,000 dan dalam tempoh sebulan, kerajinan dan usaha gigihnya membuatkan beliau mampu beroleh pendapatan mencecah RM11,000.

Hari ini, dengan bermodalkan RM600, Nor Amila menjadi pengasas Queen of Mutiara (QM) dan mempunyai tenaga kerja seramai 6,000 orang dengan perolehan pendapatan sebulan RM1 juta berdasarkan jualan yang dicapai.

“Syukur alhamdulillah dengan rezeki yang Tuhan beri. Walaupun saya ini, kata orang, tidak ada ijazah, tidak ada kelulusan yang tinggi, tercicir daripada sekolah pada usia 14 tahun namun saya bukanlah seorang pelajar yang bodoh.

“Cuma desakan kehidupan yang menghimpit keluarga ketika saya berusia 14 tahun membuatkan saya nekad berhenti sekolah dan hari ini, saya buktikan bahawa sekalipun kita tida menggenggam segulung ijazah dalam tangan, kita masih boleh berjaya kerana Allah yang aturkan segala perjalanan dalam kehidupan kita.

“Apa yang penting, dalam hati, dalam diri kita mesti tekad bekerja, berusaha gigih untuk berjaya. Insya-Allah,’’ katanya yang mempunyai seorang pembantu peribadi (PA) yang menemaninya sepanjang temubual secara eksklusif dengan Utusan Online.

Menurut Nor Amila, produk Queen of Mutiara merupakan syarikat yang mengeluarkan lebih 14 jenis produk berasaskan bahan semula jadi seperti ekstrak buah-buahan, serbuk mutiara yang tulen dan bahan-bahan terpilih yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Bagi produk yang dihasilkan melalui serbuk mutiara, kata Nor Amila, produk tersebut adalah untuk pemutihan kulit dan ia hanya mengandungi 10 biji kapsul sahaja di dalam botol.

“Apabila produk ini ditularkan di media sosial, ia mendapat sambutan baik dan dapat diuar-uarkan kepada pengguna. Malangnya, ada yang menciplak produk ini dan saya amat sedih kerana ketika itu, saya tidak terfikir untuk patternkan produk ini.

“Pengguna yang biasa menggunakan produk QM tahu bahawa produk kami adalah mutiara asli 100 peratus dan jika memakan produk ini, selepas dua biji jika ada perubahan positif kepada pengguna, mereka tidak perlu makan sehingga 10 biji,” ujarnya.

Sebagai pengasas, pengusaha dan usahawan QM, Nor Amila mempunyai prinsip tersendiri dalam sepak terajang dunia perniagaan.

Katanya, dia tidak pernah melihat siapakah pesaingnya kerana itu hanya akan memberi tekanan kepada dirinya.

“Apa yang saya pentingkan ialah mereka yang bekerja di bawah saya kerana kita bekerja sebagai satu pasukan dan sama-sama ingin memajukan diri dan perniagaan.

“Saya perlu kuat dan keutamaan saya ialah team atau pasukan saya. Saya tidak boleh lemah dan sentiasa memandang jauh ke hadapan. Biarlah saya, syarikat dan team QM terus maju.

“Maka itulah setahun produk yang dihasilkan oleh QM dalam pasaran, kita berjaya mencapai jualan mencecah RM10 juta,” kata anak bongsu daripada dua orang adik beradik seraya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE