Amy berkata, usaha gigih beliau sewaktu menyertai Minggu Fesyen New York bulan lalu untuk mencari ruang dan peluang memasarkan kasut bunion Nottingheels, dengan bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sudah menampakkan hasil.

Menurut Amy, selepas bertemu dan mengadakan perbincangan dengan beberapa individu yang merupakan pemegang kunci dalam industri fesyen di AS, akhirnya beliau berjaya mengetuk pintu pasaran AS.

“Bertitik tolak daripada pertemuan dan perbincangan dengan pembeli berpotensi dari AS, saya kembali ke Malaysia untuk mengubah dan menghasilkan rekaan-rekaan atau design yang lebih sesuai untuk pasaran AS.

“Saya bukan sahaja mengambil masa selama enam bulan untuk tampil dengan design yang berlainan dan menepati citarasa rakyat aS tetapi juga menghantar sampel design untuk dipilih.

“Kini saya lega kerana usaha gigih dan sasaran untuk memasarkan kasut bunion Nottingheels di peringkat antarabangsa akan menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di pejabat Matrade di sini, hari ini.

nottingheels
 

Walaupun gembira dengan proses perbincangan dan pertemuan dengan pembeli berpotensi dari AS, Amy memberitahu, bukanlah suatu yang mudah untuk meyakinkan pembeli berpotensi menerima rekaan kasut bunion Nottingheels yang dihasilkannya.

“Saya sedar, tiada kompromi dari sudut kualiti selain daripada design yang menarik. Jadi, design perlu diubah mengikut kesesuaian kaki rakyat AS yang saiznya berbeza dengan rakyat negara kita.

“Maka itulah, saya terpaksa menerbangkan shoe master Nottingheels ke AS semata-mata untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi tentang rupa bentuk dan design kasut bunion Nottingheels,” katanya.

Tambahnya lagi, apabila beliau menyimpan impian besar untuk memajukan industri kasut tempatan ke peringkat antarabangsa, pasaran AS sesuai kerana kesedaran rakyat negara itu terhadap penjagaan tulang kaki khususnya ibu jari kaki adalah lebih tinggi.

SARAH COZAD
SARAH COZAD 

“Hari ini, saya gembira kerana Sarah Conzad dari Los Angeles (LA) datang ke sini untuk melihat sendiri kilang dan down line yang menghasilkan kasut bunion Nottingheels.

“Sarah adalah individu yang saya temui bulan lepas dan dengan bantuan daripada agensi di bawah Matrade iaitu Go-Ex, Nottingheels akan dijual di rangkaian atau outlet Macy, H&M, mungkin juga di Nordstrom dan Bloomingdales,” katanya yang turut mengadakan pertemuan dan perbincangan di Miami dan Los Angeles (LA) sebelum ini.

Amy menambah, dalam waktu terdekat, Nottingheels buat pertama kalinya akan menembusi pasaran Asia Tenggara yang mana, kasut bunion jenama ini akan berada di Icon Siam, Bangkok, Thailand.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden Superlative Products USA Inc., Sarah Cozad mengakui banyak membantu usahawan Produk Kecil dan Sederhana (PKS) dari Malaysia yang mencari peluang untuk memasuki pasaran AS.

“Saya menetap di AS selama 24 tahun. Saya bertindak sebagai penghubung antara usahawan PKS yang mencari pasaran di AS untuk memasarkan produk yang dihasilkan.

“Lazimnya, untuk memasuki pasaran AS, sesuatu produk atau barang itu mestilah berkualiti.

“Bulan lepas, saya diperkenalkan oleh pihak Matrade New York dengan Pengasas Nottingheels, Amy Chiew. Dalam industri fesyen, pakaian dan kasut berada atas landasan yang sama.

“Saya sering kali memberitahu usahawan PKS bahawa mereka perlu membuat rekaan enam bulan lebih awal sebelum produk mereka mendapat tempat dalam pasaran di AS,” katanya sambil menambah, Nottingheels amat berminat untuk menembusi pasaran Walmart di AS.

Pengarah Seksyen Gaya Hidup dan Sains Hayat Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, ramai usahawan PKS yang berada di dalam industri Gaya Hidup berminat untuk mengeksport produk mereka ke luar negara.

Jenama Nottingheels, kata Abu Bakar, adalah salah satu produk PKS tempatan yang mencari pasaran di luar.

“Produk Gaya Hidup berpotensi dan semakin berkembang. Kalau kita tengok, perkembangan produk Gaya Hidup meningkat sebanyak 13.5 peratus dalam tempoh lapan bulan tahun lepas berbanding dengan peningkatan 4 peratus pada tahun sebelumnya.

“Oleh yang demikian, produk Gaya Hidup mempunyai ramai pesaing dan sangat kompetitif,” katanya sambil menekankan, produk kraftangan, hadiah dan premium boleh juga dipasarkan ke luar negara.

Katanya lagi, AS adalah antara pasaran utama produk Gaya Hidup selain daripada Jepun, Timur Tengah dan negara-negara ASEAN sendiri. - UTUSAN ONLINE