NERFETITI AHMAD NORDIN
NERFETITI AHMAD NORDIN 

Biarpun berkali-kali beliau ditipu termasuk kerugian RM30,000 kerana dipukau menerusi panggilan telefon, ibu enam anak ini tetap cekal menjalankan perniagaannya, Mamayaya Zone.

"Sedekad yang lalu, saya memulakan pernaigan dalam talian dan mendapat sambutan kerana tidak banyak pesaing ketika itu dan mendapat pesanan  dari dalam dan luar negara sehinggalah website mamayayazone.com di hack dan server di luar negara crash.

"Jadi, itu membuatkan saya hilang kesemua data web  dan  terpaksa bermula semula dari zero semula dan create website yang baharu. Sejak itu saya menumpukan perniagaan offline iaitu denganmembuka kedai bayi di Bandar Baru Bangi," katanya yang menjadi tetamu jemputan segmen bual pagi yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online, Mornink Blues, pagi tadi.

Mornik Blues mula-mula diperkenalkan kepada para pelayar Utusan Online pada 3 Disember tahun lalu, bersiaran secara langsung pada setiap hari Isnin sehingga Khamis selama satu jam sahaja dan boleh juga ditonton menerusi aplikasi Daily Motion.

Nerfetiti berkata, sepanjang menjalankan perniagaan Mamayaya Zone, beliau terduduk apabila ditipu oleh pekerjanya sendiri dan kerugian sebanyak RM65,000.

"Habis duit berniaga kerana saya terlalu percayakan pekerja. Penipuan yang dilakukan oleh bekas pekerja saya, juga seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu, terbongkar apabila juruaudit datang untuk membuat semakan duit keluar masuk.

"Dari situlah, saya sendiri terkejut apabila duit yang sepatutnya masuk ke dalam akaun bank, tidak dimasukkan oleh pekerja berkenaan walaupun dia menyerahkan resit kemasukan wang," katanya.

MyUri
PRODUK MyUri yang dihasilkan oleh Mamayaya Zone Mom & Baby milik Nerfetiti Ahmad Nordin memudahkan kalangan bapa untuk membersihkan uri. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Wanita yang bersifat lembah lembut ini berkata, dia tidak tergamak untuk melaporkan kes penipuan bekas pekerjanya itu kepada pihak polis walaupun dia telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

"Apabila polis memberitahu saya, sebaik sahaja saya membuat laporan makan bekas pekerja saya itu akan terus dicekup dan dimasukkan ke dalam lokap sementara menunggu tarikh perbicaraan.

"Waktu itu, saya terfikir dan tidak meneruskan niat untuk membuat laporan polis kerana bekas pekerja saya adalah juga adalah seorang ibu dan ada anak. Saya tidak tergamak dan tidak sampai hati," kata Nerfetiti.

Nerfetiti memberitahu, bekas pekerjanya itu mengakui perbuatan penipuan dan telah membayar RM25,000 daripada jumlah keseluruhan wang yang digelapkannya dan baki, dibayar secara ansuran.

Satu lagi pengalaman ditipu yang pernah dilalui oleh Nerfetiti adalah ketika beliau membuka Mamayaya Zone yang turut menjual pakaian dan kelengkapan ibu dan bayi.

"Saya perlu menempah baju untuk Mamayaya Zone. Jadi, saya bagi deposit kepada seorang individu ini kerana dia mengakui, mempunyai kilang untuk menyediakan tempahan.

"Selepas menyerahkan deposit, bukan sikit, dia ghaib dan hilang dengan kilang sekali kerana kilang itu tidak wujud. Sekali lagi, saya terduduk," katanya.

Pengalaman ditipu berkali-kali yang pernah dilalui oleh Nerfetiti tidak melemahkan semangatnya untuk terus bangkit sebagai usahawan wanita.

Hari ini, Mamayaya Zone menyediakan perkhidmatan pengurusan uri untuk mereka yang tinggal di bandar dan tidak mempunyai tempat atau kawasan (tanah) untuk menanam uri.

"Selain daripada perkhidmatan ini, Mamayaya Zone juga menyediakan produk MyUri iaitu pakej membersihkan uri untuk kalangan bapa yang pertama kali menjadi ayah dan kepada nenek-nenek yang mungkin sudah terlupa cara-cara untuk membersihkan uri.. 

"Untuk memudahkan pasangan baharu menimang cahaya mata, Mamayaya Zone menyediakan perkhidmatan MyUri Rider iaitu servis cuci dan tanam uri. Uri akan diambil di hospital dan kemudian dihantar utk proses mencuci dan tanam," ujarnya.

Tambah Nerfetiti lagi, selain daripada menjual pelbagai produk ibu dan bayi, mereka juga memberikan konsultasi percuma kepada pasangan yang bakal menimang cahaya mata.

"Selain  bakal ibu dan ayah, mereka yang bakal bergelar atok dan nenek juga ramai yang datang  untuk mendpatkan konsultasi penjagaan berpantang dan penjagaan bayi dari butik Mamayaya Zone di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor," katanya seraya mengakhiri perbualan.  - UTUSAN ONLINE