Video oleh SHARIZA ABDULLAH

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, seramai 109 usahawan bumiputera mendapat manfaat menerusi perniagaan dalam bidang berkenaan di empat premis Mara Digital yang dibuka secara berperingkat sejak Disember 2015.

Premis-premis berkenaan, kata beliau, ialah di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Ipoh (Perak) dan terbaharu di Plaza Gambut di sini yang menawarkan 18 ruang niaga yang dilancarkan hari ini.

“Kita menyasarkan setiap ibu negeri mempunyai premis Mara Digital. Seterusnya dari segi jangka masa panjang, kita akan membukanya di daerah-daerah di ba­ngunan Mara.

“Maknanya Arked Mara kita ubah dengan tidak hanya sekadar menjual produk tradisional tetapi produk ICT yang mungkin dalam skala kecil,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mara Digital Kuantan.

Yang hadir sama Ketua Penga­rah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dan pemimpin masyarakat setempat.

Menurut Ismail Sabri, kajian dilakukan firma penyelidikan pasaran, GFK mendapati rakyat negara ini berbelanja sekitar RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar bagi tempoh Mac 2016 hingga Februa­ri lalu iaitu meningkat daripada RM5.4 bilion pada 2015.

Kata beliau, angka itu me­nunjukkan bidang ICT dan digital adalah perniagaan alaf baharu yang mempunyai potensi cerah jika diusahakan dengan strategi tepat serta bersungguh-sungguh.

“Sebab itu saya tidak mahu melihat usahawan Melayu dan bumiputera ketinggalan dalam perniagaan alaf baharu yang ketika ini sangat popular dan terus popular.

“Sasaran kita bukan setakat melahirkan usahawan runcit, tetapi dari segi pembekal, pengedar dan pengimport supaya ke­seluruhan rantaian nilai terdapat usahawan bumiputera,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan golongan bumiputera memiliki tenaga mahir dalam pembangunan gajet ICT pada masa hadapan, institusi di bawah kementerian menganjurkan kursus berkaitan industri berkenaan.

“GiatMara telah mempunyai kursus jangka pendek membaiki telefon pintar manakala Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Universiti Kuala Lumpur ada menyediakan kursus berkaitan kejuruteraan, perisian komputer dan multimedia,” katanya.