DATIN AIDA SURAINI IBRAHIM
DATIN AIDA SURAINI IBRAHIM

Bermula dengan menjual tudung instant atau shawl secara online sekitar tahun 2004 dan dilakukannya ketika waktu senggang, akhirnya Aida Suraini mengambil keputusan dan bertekad untuk meneruskan langkah sebagai seorang usahawan dengan hasrat untuk membuka sebuah perniagaan butik yang boleh memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat sekitar Jitra, Kedah.

Hasrat Aida Suraini bukan sahaja mendapat restu daripada suaminya, Datuk Wan Ahmad Muazam Wan Ismail untuk meninggalkan terus pekerjaan perbankan dan mengusahakan perniagaan secara sepenuh masa tetapi sokongan moral dan kewangan membuatkan beliau beriltizam untuk menjadikan perniagaan butik miliknya sebagai satu perniagaan keluarga.

Menurut Aida Suraini, pada tahun 2014 dengan bermodalkan kira-kira RM100,000, Butik Cindai dibuka dengan tumpuan jualan tudung instant atau instant shawl.

“Masih segar dalam ingatan saya, pada tahun itu, mula-mula saya buka Butik Cindai adalah dalam bulan Ramadan dan sasaran pelanggan pula adalah kalangan mereka yang tinggal di sekitar Jitra.

“Syukur pada Allah yang memberi rezeki kerana semua tudung atau shawl yang ada di dalam butik, habis terjual kerana 10 rekaan shawl yang dipamerkan, ia didatangkan dengan pelbagai warna yang menarik dan disulami pula dengan manik-manik.

“Faktor harga mampu beli juga menjadi tarikan pelanggan kerana shawl di Butik Cindai dijual pada harga yang murah berbanding dengan harga shawl yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di Butik Cindai di Jitra, baru-baru ini.

Kata Aida Suraini, sebelum menggunakan nama Butik Cindai, jenama yang diperkenalkan kepada pelanggan yang membeli tudung instant atau shawl adalah Cindai Mahsuri.

Bagaimanapun, ujar Aida Suraini, nama Cindai Mahsuri ditukar kepada Cindai sahaja atas strategi mudah untuk dijenamakan di pasaran dan lebih komersial.

Tiada kaitan dengan judul lagu yang pernah dirakamkan oleh penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cindai, Butik Cindai hari ini bergerak maju dengan didokong kuat oleh adik-adik Aida Suraini.

“Empat orang adik saya iaitu Aida Suziana, Aida Suhaiza, Azrul Rizal dan Azrul Izwan turut menggembeling tenaga dan idea bagi memastikan Butik Cindai ini mampu berdiri teguh dan menjadi perniagaan keluarga kami.

“Maka itulah, Aida Suziana yang mempunyai pengalaman dalam bidang perakaunan, digalaskan tanggungjawab menjaga kewangan syarikat manakala Aida Suhaiza pula lebih menjurus ke arah pemasaran dan penjualan dan Azrul Rizal pula sebagai Pengarah.

“Adik bongsu kami, Izwan adalah pereka fesyen di Butik Cindai. Apabila saya mahu mengembangkan perniagaan yang dijalankan, daripada hanya menjual tudung-tudung instant atau shawl, saya sedar bahawa perniagaan ini mesti bercambah dengan menjual pakaian yang membawa jenama Cindai.

“Alhamdulillah, rekaan Izwan berjaya mendapat tempat di hati pelanggan kami. Sejak tahun lepas, 2017, pelanggan yang masuk ke Butik Cindai mempunyai pilihan untuk membeli baju kurung, blaus, palazo, skirt labuh dan celana selain daripada membeli shawl untuk dipakai selain daripada pakaian untuk lelaki,” jelas Aida Suraini.

Menyedari persaingan di luar sana dengan mereka yang menjalankan perniagaan berkonsepkan butik, cabaran yang dihadapi oleh warga kerja di Butik Cindai adalah untuk menghasilkan dan menjual rekaan yang berbeza.

“Ini salah satu daripada cabaran yang kita hadapi, berfesyen dan patuh syariah kerana rata-rata pelanggan yang melangkah masuk ke Butik Cindai adalah wanita muslim.

“Kita mahu pelanggan merasa selesa memakai pakaian dan tudung Cindai dan perasaan itu tidak terhenti di situ sebaliknya mereka merasa amat bergaya apabila berada di tengah-tengah orang ramai.

“Iwan sebagai pereka fesyen Cindai, perlu sentiasa menyuntik idea-idea baharu dan segar dari segi rekaan dan tentunya, pakaian di butik ini adalah untuk mereka yang bersaiz S sehinggalah ke size plus.

“Di sini kami sedia menerima tempahan atau custome made dan tempahan hanya mengambil masa yang singkat untuk disiapkan. Paling pantas ialah dua hari,” kata Aida Suraini.

Tambah Aida Suraini, beliau mahu menjadikan Butik Cindai yang diusahakan oleh mereka lima beradik sebagai butik one stop centre pilihan rakyat negeri Kedah. - UTUSAN ONLINE