Harapan itu bukan sekadar angan-angan bagi pereka grafik asal Arau, Perlis apabila berjaya menghasilkan produk sendiri melalui jenama The Rumi yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

The Rumi yang ditubuhkan Azizi bersama dua rakan baiknya, Sharilfuldin Hashim, 35, dan Azaruddin Mat Saad,33, sejak 2014 menghasilkan pelbagai produk ciptaan sendiri seperti baju T, aksesori dan barangan kulit.

Azizi berkata, barangan yang dijual khususnya baju T serta barangan kulit seperti dompet mendapat tempat di hati pelanggan yang inginkan barangan berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Katanya, sepanjang tempoh empat tahun sejak The Rumi ditubuhkan, dia menggunakan pengiklanan melalui laman sosial Facebook dan Instagram untuk mempromosikan barangan itu kepada orang ramai.

Malah katanya, jenama The Rumi juga sering menyertai festival-festival barangan tempatan di seluruh negara.

“Keistimewaan barangan keluaran kami khususnya baju T adalah dari segi kualiti selain rekaan dihasilkan sesuai dengan trend semasa.

“Setiap keluaran barangan The Rumi seperti baju T adalah terhad iaitu sekitar 300 helai. Selepas itu, kita akan menghasilkan rekaan baharu pula.

“Alhamdulillah...sambutan agak menggalakkan khususnya daripada golongan muda yang cintakan seni dan menghargai karya serta bakat anak tempatan,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Menurutnya lagi, harga yang ditawarkan seperti baju T adalah RM60 sehelai manakala barangan kulit pula sekitar RM50 sehingga RM200.

“Pada masa ini urusan perniagaan yang dijalankan secara separuh masa dilakukan di rumah dan saya merancang membuka butik sendiri selepas ini.

“Saya percaya dengan usaha yang berterusan, jenama The Rumi akan terus berkembang pesat dan lebih dikenali sebagai salah satu jenama terbaik keluaran tempatan,” katanya.

Pelanggan boleh membuat tempahan atau pembelian menerusi laman sosial Facebook The Rumi, Instagram the_rumi atau terus menghubungi Azizi di talian 012-5979384.