Keinginan tersebut bermula pada 2003 setelah anak kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor ini membantu bapa saudaranya berniaga rojak, sementara menanti hari konvokesyen.

Biarpun tanpa mempunyai sebarang pengetahuan asas dalam perniagaan, namun melihat potensi yang ada pada perniagaan diusahakan bapa saudaranya itu, Raja Ezham tekad membuka perniagaan rojak. Menariknya resipi rojak itu diwarisi turun temurun daripada keluarga.

Selain mempunyai masa yang cukup fleksibel, kekuatan resipi rojak warisan daripada keluarga sebelah ibunya menjadi pertaruhan untuknya melangkah dalam bidang perniagaan.

“Jujurnya, saya sendiri tidak mempunyai asas dalam bidang perniagaan. Malah hendak potong sayur pun tak pandai. Tetapi saya melihat potensi besar yang ada dalam perniagaan makanan.

“Sebagai permulaan, saya buka gerai payung berdekatan Masjid Sungai Ramal. Saya dapat modal perniagaan daripada ibu bapa. Alhamdulillah, perniagaan rojak dan cendol saya ini mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pelanggan dan sehingga hari ini, saya sudah berniaga rojak selama hampir 15 tahun. Nama rojak yang saya sajikan ini ialah Rojak King,” katanya tersenyum lebar ketika ditemui Mega Rona.

Mengimbas kenangan permulaan membuka Rojak King, Raja Ezham berkata, disebabkan mahu ‘terjun’ ke dalam bidang yang belum pernah diceburi, ibu bapanya berasa sedikit risau dan khuatir sekiranya dia gagal mengendalikan perniagaan dengan baik.

Katanya, ibunya agak keberatan ekoran dia mempunyai segulung ijazah yang membolehkannya mempunyai kerjaya lebih baik dalam bidang Sains Robotik.

Namun setelah berbincang dan menyatakan keinginan mendalam untuk berniaga, ibu bapanya bersetuju, malah mereka jugalah yang telah menye­diakan dana permulaan untuk dia membuka Rojak King.

Pada 2006, Raja Ezham membeli sebuah lori khas untuk membolehkan Rojak King beroperasi di Bandar Teknologi, Kajang, sebelum mendapat sebuah gerai di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerusi Mikro Mara MPKj pada 2007.

Melebarkan sayap perniagaan, Rojak King membuka cawangan baharunya di Sulaman, Bandar Baru Bangi, Selangor, sekali gus memperoleh lebih banyak pelanggan tetap yang menggemari rojak resipi istimewa keluarga.

“Saya bertemu jodoh dengan gadis pilihan hati, Suraya Lajis pada 2012. Kehadiran isteri menambah kekuatan saya untuk mengendalikan Rojak King dengan lebih berjaya. Ini kerana Suraya mempunyai pengalaman bekerja dengan sebuah syarikat katering besar sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya mempunyai seorang isteri yang sangat berpengalaman dalam bidang perniagaan makanan dan kami berdua tekad menjadikan Rojak King semakin dikenali dan mendapat tempat di hati pelanggan.

“Kekuatan Rojak King terletak pada penghasilan kuahnya menerusi adunan istimewa resipi turun temurun. Selain itu, mungkin juga ada yang meminati rojak kami kerana hasil tangan orang Melayu,” katanya tertawa.

Selain rojak, beliau turut menyediakan resipi istimewa mee rebus, cendol pulut, cendol durian (mengikut musim) serta rojak mee ayam berdasarkan permintaan pelanggan setia.

Malah atas permintaan orang ramai, Rojak King turut menyediakan perkhidmatan untuk majlis-majlis keramaian dan perkahwinan di sekitar Lembah Klang dan Nilai sejak tiga tahun lalu.

“Paling jauh, Rojak King pernah ‘terbang’ sehingga ke Pahang dan menjadi hidangan dalam majlis besar seperti majlis pecah tanah dan majlis anjuran Felda yang dirasmikan oleh Perdana Menteri.

“Syukur, Rojak King semakin mendapat tempat di hati orang ramai. Saya tidak pernah menyesal menceburi bidang perniagaan makanan biarpun mempunyai segulung ijazah yang hanya disimpan di dalam almari,” katanya.