Faiznur Iffah

Peratusan penganggur kebanyakannya adalah dalam kalangan lepasan universiti, tetapi graduan menganggur bukan lagi menjadi suatu masalah apabila mereka boleh menjana pendapatan dengan berniaga.

Terdapat banyak persatuan atau platform yang boleh memberikan ilmu tentang perniagaan walaupun tidak belajar di universiti atau bukan daripada keluarga yang berniaga. Isu tidak bekerja atau tiada pekerjaan seharusnya dapat dibendung jika seseorang itu berusaha untuk mengubah nasib diri dan mencari jalan supaya tidak terjerumus dalam kalangan mereka yang hanya menunggu dipelawa bekerja kerana status pencapaian akademik yang tinggi.

Sebelum ini, saya memang sudah banyak terlibat dengan pelbagai perniagaan dilakukan secara sambilan seperti menjual makanan di dalam kolej, menjual `top up’ dan menjadi pengedar pelbagai produk. Oleh kerana tidak terfikir untuk menjadikannya sebagai permulaan kerjaya, jadi ia hanyalah untuk suka-suka. Namun, semua itu berubah apabila menyertai satu kumpulan di mana di dalam kumpulan tersebut adalah dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjalankan perniagaan masing-masing secara sampingan semasa belajar.

Kumpulan ini diberi nama Skuad Usahawan Muda (Young Entrepreneur Squad) ditubuhkan September 2016, yang merupakan hasil daripada satu program keusahawanan di UPM. Fokus kumpulan ini adalah untuk mengumpulkan para usahawan graduan yang menjadikan perniagaan sebagai permulaan kerjaya mereka.

Sehingga ke hari ini, kumpulan ini dapat mengumpul kira-kira 200 orang pelajar terdiri daripada pelajar yang sudah bergraduat dan juga masih belajar. Positifnya, kumpulan ini menjadi platform untuk memberikan motivasi, bantuan dari segi sokongan moral dan khidmat nasihat. Perbincangan segala permasalahan yang berlaku di dalam perniagaan juga sering menjadikannya sebagai tempat untuk mencari peluang bagi meningkatkan perniagaan masing-masing ke arah lebih tinggi. Hasil penglibatan secara serius ini membolehkan saya dilantik menjadi pengurus untuk kumpulan tersebut.

Berbeza dengan zaman dahulu, kumpulan seperti ini tidak wujud secara rasmi dan kebanyakan daripada mereka hanya disokong oleh teman rapat atau ahli keluarga sendiri. Pentingnya kumpulan adalah menjadi tempat rujukan, contohnya apabila seorang daripada ahli mempunyai masalah berkaitan dengan perniagaan, di dalam kumpulan ini akan dibincangkan bagaimana untuk membantu ahli tersebut.

Selain itu, kumpulan ini juga telah menjalankan beberapa aktiviti antaranya program #SharingisCaring. Di dalam program tersebut, dana dikumpulkan dan daripada dana tersebut, kumpulan ini memberikan makanan tengah hari secara percuma kepada staf di sekitar UPM dengan pendekatan, sambil berniaga perlu juga membuat amal kebajikan.

Baru-baru ini juga satu seminar telah diadakan anjuran kumpulan berkenaan untuk memberikan inspirasi kepada anak-anak muda lain bahawa kerjaya sebagai seorang usahawan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Di dalam seminar tersebut diajar bagaimana untuk memulakan perniagaan dengan modal yang minimum dan teknik-teknik berniaga. Kumpulan ini menitikberatkan bahawa seorang pelajar tetap memerlukan kos yang tinggi untuk digunakan semasa belajar. Jadi, daripada situ kumpulan ini ingin memberikan pengajaran kepada sesiapa sahaja bahawa menjana pendapatan boleh bermula semasa masih belajar lagi.

Kini, kumpulan lebih fokus berniaga secara dalam talian menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan mempunyai laman web sendiri untuk mengiklankan produk bagi memudahkan pelanggan membeli. Hasil penglibatan dengan Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) yang memperkenalkan platform Vitradepoint.com, kini sesiapa sahaja boleh mula berniaga dengan modal yang minimum. Penggunaan platform ini sangat memudahkan mereka yang suka berniaga di dalam talian.

Jangan jadikan alasan seorang graduan tidak layak menjalankan perniagaan kerana status pencapaian. Pembelajaran di universiti sebagai satu permulaan sebelum melangkah ke dunia luar. Ilmu-ilmu yang didapati semasa belajar boleh diaplikasikan di dalam perniagaan jika mempunyai minat ke arah itu. Tanggapan belajar di universiti menjadi sia-sia kerana menjadi seorang ahli perniagaan perlu dibuang.

FAIZNUR IFFAH PYDI merupakan Setiausaha Skuad Usahawan Muda dan pelajar Tahun 3, Bacelor Sains Hortikultur Landskap, Fakulti 
Pertanian, Universiti Putra Malaysia.