MEGAT MOHD. YATIM MEGAT HAMID
MEGAT MOHD. YATIM MEGAT HAMID

Pengarah Kanan Teraju, Megat Mohd. Yatim Megat Hamid berkata, Superb adalah pertandingan khusus untuk usahawan bumiputera yang mana mereka dinilai berdasarkan idea-idea kreatif dan berinovasi.

Menurut beliau, siri kedua tersebut berjaya menarik penyer­taan daripada pelbagai sektor antaranya pertanian, pembuatan, perkilangan, elektrikal dan elektronik, tenaga serta perkhidmatan.

“Superb direka khas untuk membantu individu dan syarikat-syarikat baharu bagi memupuk dan mengembangkan lagi penghasilan idea atau ciptaan mereka ke arah model perniagaan yang berjaya.

“Selain itu, hadiah berupa geran ini merupakan antara yang terbesar pernah ditawarkan untuk membantu merangsang bakat bumiputera dalam perniagaan sehingga mereka boleh berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Megat Mohd. Yatim menambah, para peserta dikehendaki mempersembahkan idea mereka bermula daripada peringkat konsep, pembangunan prototaip serta tahap pengkomersialan.

Jelasnya, seramai 200 individu atau syarikat telah diberi peruntukkan pembiayaan sulung untuk memastikan mereka dapat berdikari, belajar dan berjaya dalam menghadapi segala cabaran dalam dunia perniagaan.

“Setakat ini, 137 usahawan muda telah menerima geran permulaan berjumlah RM68.5 juta sejak Superb diperkenalkan pada 2014.

“Selain menyediakan dana, Superb juga menawarkan perkhid­matan pembangunan, pengko­mer­sialan, bimbingan, latihan ke­cekapan dan pertambahan da­na dari rakan kongsi strategik untuk pemenang. Proses penilaian siri kedua dijangka mengambil masa selama empat hingga enam minggu dan keputusan akan di­umumkan pada suku ketiga tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Teraju memberitahu, Superb siri ketiga akan dilancarkan pada September ini.