Timbalan Menteri Perdagang­an Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, setakat ini Melaka merupakan nege­ri yang menerima geran BEEP tertinggi berjumlah RM24 juta melibatkan 327 usahawan.

“Terengganu menerima sejumlah RM25 juta melibatkan 196 usahawan, Pulau Pinang dengan RM17 juta (146 usahawan) dan Negeri Sembilan menerima RM16 juta (148 usahawan).

“Kelulusan tertinggi adalah untuk subsektor makanan dan minuman (F&B) sekali gus merupakan yang terbesar kita bantu di bawah program BEEP,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hajjah Aminah Food Industries Sdn. Bhd., (HAFI) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan HAFI, Norlia Yusof; Pengarah SME Corp negeri, Faiz R. Sutarji dan Pengarah Lembaga Pemba­ngunan Pelaburan Malaysia (MIDA) negeri, Zetty Hamimi Zakaria.

Menurut Ahmad, program BEEP akan diteruskan sebagai usaha memastikan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya golongan bumiputera mendapat bantuan bagi menguruskan perniagaan.

“Malaysia kini mempunyai seramai 645,000 usahawan PKS dan 37 peratus daripada jumlah tersebut adalah golongan bumiputera.

“Daripada jumlah itu, 88 peratus daripadanya pula di dalam kategori mikro yang jualannya tidak lebih daripada RM300,000 dan mempunyai pekerja tidak lebih daripada lima orang,” ujar­nya.

Sementara itu menurut Norlia, produk makanan yang dihasilkan HAFI kini telah menembusi pasaran antarabangsa seperti Australia, Brunei, China, Singapura, Hong Kong dan Filipina.

“Antara poduk yang dieksport adalah pai kentang lecek, burger serta pasta yang turut dibekalkan kepada syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Singapore Airlines, China Airlines, Saudi Airlines dan KLM Royal Dutch Airlines.

“HAFI akan membekalkan sebanyak 160 karton produk makanan bernilai RM200,000 untuk sekali pesanan dan pada masa akan datang, kita bercadang menembusi pasaran Korea serta Jepun,” katanya.