Pengarah Jabatan Laman Informasi Nasihat Khidmat (LINK) dan Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM), Arlina Ariff berkata, sasaran seramai 20,000 pengunjung karnival itu dianggar dapat dicapai hanya pada hari kedua pe­nganjurannya hari ini.

“Seramai hampir 10,000 pe­ngunjung tidak melepaskan peluang menghadiri karnival ini pada hari pertama (semalam), dan kami menjangkakan sasaran 20,000 akan dapat dilepasi hari ini de­ngan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang termasuk persembahan artis.

“Kami menjemput semua tidak kira pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur untuk bersama memeriahkan lagi karnival, selain mendapatkan manfaat terutama dalam kewangan,” katanya ketika ditemui di karnival itu di sini hari ini.

Pengunjung berpeluang memanfaatkan pelbagai program di bawah satu bumbung seperti eCCRIS, e-Usahawan dan e-Rezeki, forum dan pendidikan kewangan, cabutan bertuah, selain berhibur menyaksikan persembahan artis.

Inisiatif berkenaan adalah antara usaha BNM untuk mendekati masyarakat setempat di luar Kuala Lumpur dan lima cawa­ngan pejabatnya iaitu di Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang.

Arlina memberitahu, sejumlah 53 organisasi tempatan mengambil bahagian iaitu 19 institusi perbankan, 11 syarikat insurans dan takaful serta 23 lagi persatuan dan lain-lain agensi berkaitan perkhid­matan kewangan.

Katanya, karnival itu menjadi platform orang ramai untuk meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan kewangan supaya menjadi lebih celik dan mampu mengurus kewangan dengan le­bih bijak khususnya bagi komuniti setempat.