Pemilik perusahaan itu, Sulaiman Ismail berkata, sepanjang Ramadan permintaan serunding yang diusahakannya meningkat sehingga 250 kilogram sehari.

Menurutnya, dia cukup bertuah apabila memiliki kakitangan yang komited dan mampu menyiapkan serunding itu selaras dengan tempahan yang diterima.

“Saya tidak menghadapi masalah membekalkan bahan mentah seperti daging, kelapa, rempah-ratus dan tenaga kerja yang cukup bagi memenuhi tempahan.

“Walaupun permintaan meningkat, namun kualiti serunding tetap menjadi keutamaan kerana tidak mahu menghampakan kepercayaan diberikan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lemal, di sini hari ini.

Sulaiman memberitahu, resipi serunding yang diusahakannya itu berasal dari Kampung Laut, Tumpat dan merupakan warisan keluarga arwah isterinya, Wan Sabariah Wan Ali.

“Jadi rasanya sama dengan produk serunding di Kampung Laut. Saya hasilkan empat produk serunding iaitu daging tempatan dan import, ayam dan ikan,” ujarnya.

Sulaiman berkata, serunding daging tempatan dijual dengan harga RM60 sekilogram, import (RM50 sekilogram), ayam (RM50 sekilogram) dan ikan (RM40 sekilogram). - UTUSAN ONLINE