Ini berdasarkan pengalamannya yang pernah menetap di Jepun selama tiga tahun ketika melanjutkan pengajian di Takamatsu National College of Japan dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal, Elektronik dan Sains Komputer.

Sekembalinya ke Malaysia, Rosila bertugas dalam sektor swasta sebelum mengambil keputusan berhenti pada 2017.

Dalam tempoh itu, beliau turut menjalankan perniagaan dalam talian dengan menawarkan khidmat penghantaran piza Jepun dan sos melalui akaun Instagram miliknya, @dokidoki.okonomi sebelum terlibat sepenuh masa selepas itu.

“Bukan mudah untuk kita mulakan sesuatu yang baharu dalam pasaran. Okonomiyaki ini mungkin telah ada dalam pasaran di pelbagai pasar raya. Namun begitu, kita tidak tahu kualitinya. Produk piza kami me­nggunakan kepingan isi ikan bonito yang dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Cabarannya, kami perlu mencari bahan yang halal dengan kos berpatutan. Bahan yang kami guna ini dua kali ganda harganya berbanding produk Taiwan dan China. Tetapi dari segi kualiti dan pensijilan halalnya terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Rosila kini mendapat bim­bingan Yayasan Hijrah Se­langor berhasrat mengembangkan pasaran produk­nya ke luar negara dengan sasaran mema­suki pasaran Jepun ter­utama mengambil ke­sem­patan pe­nganjuran Olim­pik 2020.

Selain itu, beliau juga me­nerima tempahan untuk majlis perkahwinan, korporat dan sambutan hari jadi.

Jelas Rosila dengan kapasiti tenaga kerja sedia ada, syarikatnya boleh menghasilkan maksimum sehingga 1,000 ke­ping piza setiap hari.

Pizza Jepun itu dihasilkan secara manual bagi mengekalkan tekstur piza yang asli dan mampu bertahan setahun jika disimpan dalam peti sejuk beku.

“Rencah utama piza ini datang daripada lapisan tambahan iaitu sos hitam, kepingan bonito, mayonis dan serbuk rum­pai laut. Malah, sos yang kami hasilkan ini bukan sahaja boleh digunakan untuk penyediaan Okonomiyaki semata-mata tetapi juga sebagai sos barbeku, pencicah dimsum dan yong tau fu,” katanya.

Meskipun berdepan de­ngan pelbagai rintangan dalam dunia ke­usahawanan, ia tidak menghalang Rosila untuk mencapai matlamat utama dalam menyediakan makanan Jepun halal pada harga berpatutan iaitu RM15 bagi setiap unit piza dan sos.