Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, bajet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan sektor perusahaan kecil di negara ini.

“Di peringkat kerajaan, saya mengumumkan Melaka adalah antara negeri yang paling aktif menganjurkan program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan kita harapkan golongan usahawan negeri ini akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada RM22.2 bilion yang diumumkan kerajaan.

“Selain itu, kerajaan juga mahu usahawan mengubah dasar perniagaan kepada kaedah e-elektronik yang dikenal pasti mampu memberi pulangan lumayan di peringkat dunia ketika ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Showcase SDSI peringkat daerah kecil Sungai Rambai di hentian rehat dan rawat Sungai Rambai dekat sini sebentar tadi.

Perasmian Showcase SDSI kali ke-12 bagi negeri Melaka itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangungan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Sementara itu, Idris dalam ucapan perasmiannya meminta rakyat merebut peluang yang ada untuk memajukan perusahaan mereka dan menjadikan contoh revolusi teknokogi maklumat peringkat global ketika ini sebagai pencetus semangat untuk berjaya.

“Cuba minimumkan pergantungan usahawan terhadap agensi kerajaan sebaliknya mereka perlu mencuba yang terbaik untuk berjaya tanpa mengharapkan bantuan dan saya yakin usaha itu mampu dicapai,” kata Idris. - UTUSAN ONLINE