Program itu merupakan hasil kerjasama strategik PSFB dengan Utusan Melayu (M) Berhad menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) manakala pengendaliannya akan dilaksanakan oleh Berkat Minda Resources (BMR) selaku perunding program seminar berkenaan.

Pengarah PSFB, Nurfatin Diana Mohd. Zain berkata, tanggungjawab membangunkan usahawan muda tidak hanya terhad kepada pihak kerajaan sahaja, sebaliknya syarikat swasta juga boleh memainkan peranan sama dengan membekalkan sumber serta kepakaran bagi melahirkan lebih ramai golongan usahawan di negara ini.

“Kami menganggap seminar keusahawanan dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad di sekolah-sekolah menengah yang terlibat merupakan khidmat kami kepada negara melalui pembangunan sistem pendidikan yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara pada masa depan.

“Penganjuran seminar ini juga selaras dengan pelaksanaan Program Pembudayaan Keusahawanan oleh Kementerian Pendidikan yang diterapkan melalui kurikulum sekolah,” katanya sambil menyatakan program pertama seminar itu akan dimulakan pada Selasa ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat PSFB di Seksyen 16, di sini yang turut diha­diri Pengarah Urusan PSFB, Adilah Shuib dan Pengarah Urusan BMR, Mahmod Mat Ali.

Mengulas lanjut mengenai Program Seminar Keusahawanan PFSB-Utusan 2017 itu, Nurfatin Diana memberitahu, pihaknya akan memberi penekanan kepada peserta mengenai selok-belok bidang keusahawanan bermula dari proses mengenal pasti bidang perniagaan, perancangan, pemasaran selain meneroka peluang-peluang pembangunan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya turut melancarkan Program CSR iaitu Jom Singgah Sekolah serentak dengan pelaksanaan Program Seminar Keusahawanan PSFB-Utusan 2017 yang memberi fokus kepada memupuk sikap memulihara alam sekitar menerusi amalan kitar semula.

“Sebagaimana PSFB mengeluarkan produk minuman dengan menggunakan bahan pembungkusan mesra alam, kita juga mahukan para pelajar turut membudayakan amalan kitar semula.

“Malah, kita turut melaksanakan inisiatif dengan memberikan flexi tumbler sebagai ganjaran kepada pelajar yang berjaya me­laksanakan amalan kitar semula dalam Program Jom Singgah Sekolah,” ujarnya.