Daripada pengalamannya membantu anak lelakinya yang sebenarnya berbeza dengan anak-anak yang sempurna, N sabar memberi motivasi kepada anaknya untuk lebih bersikap terbuka dan berkeyakinan untuk berjaya dalam mengharungi kehidupan.

Segala nilai positif disuntik di dalam diri anak lelakinya yang kini berusia 27 tahun dan testimoni itu, antara sedar dengan tidak, menjadi salah satu elemen bagi wanita berjiwa besi ini dalam membantu para usahawan atau peniaga yang memerlukan bimbingan menguruskan perniagaan mereka.

NORLIAH ABDULLAH

NORLIAH ABDULLAH tampil sebagai tetamu undangan segmen bual pagi, Mornink Blues di Utusan Online, pagi tadi dihoskan bersama Hasnurul Mohamed dan KhairulAnuar Yahaya. - UTUSAN ONLINE

Memiliki syarikat sendiri, Abundance Victory, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Ann berjaya membimbing anak lelakinya yang kini seorang juruterbang pesawat komersial tambang murah.

Memiliki pengalaman hidup umpama roda yang sentiasa berputar, anak kelahiran Pulau Mutiara ini pernah mempunyai kilang makanan di Nilai 3, Negeri Sembilan yang beroperasi selama 12 tahun.

Bagaimanapun,beliau memilih untuk melangkah keluar dari kilang tersebut dan meninggalkannya untuk diuruskan oleh rakan kongsinya kerana mahu menumpukan perhatian kepada aspek juru runding atau consultantcy.

Muncul sebagai tetamu undangan segmen bual pagi, Mornink Blues, Utusan Online hari ini, Ann, perintis Pensterilan Komersial, Penyediaan Makanan di Malaysia memberitahu, beliau terpanggil untuk menawarkan khidmat sebagai perunding kerana tidak mahu usahawan melalui pengalaman pahit yang pernah dilaluinya dahulu.

"Saya dilahirkan dalam kalangan keluarga yang berniaga. Emak saya menjual nasi lemak, roti canai dari rumah dan bapa pula, seorang peniaga kecil menjual jamu dan minyak angin.Saya tidak ada pilihan. Jadi, itulah kehidupan saya semasa kecil, sudah terdidik dalam perniagaan.

"Akhirnya selepas saya menamatkan pengajian dalam bidang pemakanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bekerja, dengan bermodalkan RM20,000, saya membuka perniagaan dalam bidang pemakanan," katanya.

Kata Ann lagi, modal untuk menjalankan perniagaan dan strategi pemasaran yang dirancang amat penting supaya perniagaan yang diusahakan itu tidak mengalami kerugian.

"Semua itu telah dan pernah saya lalui. Saya tidak mahu orang lain mengalami nasib yang sama. Maka itulah, saya menawarkan khidmat rundingan atau konsultan selain daripada khidmat nasihat dalam industri pemakanan," ujarnya.

Ann mengakui, rangkaian sokongan amat perlu bagi seseorang usahawan itu berjaya dalam perniagaan.

Segmen bual pagi Mornink Blues disiarkan secara live di Facebook Utusan Online dan aplikasi Daily Motion setiap hari Isnin sehingga Khamis, 8 pagi sehingga 9 pagi. - UTUSAN ONLINE